Sentuh sensitiviti Islam: UMNO minta DAP ambil tindakan atas Ronnie Liu
Muhafandi Muhamad
November 1, 2021 11:26 MYT
November 1, 2021 11:26 MYT
KOK LANAS: Datuk Seri Mohd Alwi Che Ahmad meminta DAP mengambil tindakan ke atas Ronnie Liu Tian Khiew susulan satu hantaran di laman sosial yang didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam.
Katanya, kenyataan Ronnie yang dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya, mempersoalkan mengapa umat Islam tidak boleh bekerja di kilang minuman keras, disifatkan biadap dan mengguris hati umat Islam.
"Saya terpanggil dan kecewa apabila Ronnie mengeluarkan kenyataan yang jelas menghina, biadap dan menggugat umat Islam dengan mempersoalkan larangan umat Islam bekerja di kilang minuman keras," katanya ketika ditemui di sini.
"Sekiranya beliau tidak faham atau jahil dengan hal ehwal Islam, sebaiknya diam dan tidak mencampuri urusan agama Islam yang menjadi pegangan sebahagian besar masyarakat melayu di Malaysia," kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO nya.
Tegas Mohd Alwi, kenyataan Ronnie itu boleh membangkitkan kemarahan umat Islam kerana kejahilannya atau dengan sengaja mahu mencemar keharmonian dan kesucian Islam.
Terbaru, Ahli Jawatankuasa Kebangsaan DAP itu mempersoalkan mengapa umat Islam tidak boleh terlibat sama ada bekerja, menyentuh atau menghantar minuman keras.
Katanya, beliau faham, minum minuman keras adalah larangan dan haram bagi umat Islam namun beliau tidak faham kenapa bekerja di kilang minuman keras, juga tidak dibenarkan.
Mohd Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata, Ronnie tidak faham bahawa Islam melarang umatnya terlibat sama ada mengangkat, menulis, menghantar atau apa jua urusan berkaitan minuman keras, apatah lagi bekerja di kilang yang menghasilkan minuman keras.