SUNGAI PETANI: Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa kepimpinan Perikatan Nasional (PN) di peringkat negeri-negeri akan menyerahkan senarai calon bagi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada peringkat Pusat, 16 Oktober depan.

Beliau yang juga Pengerusi PN Kedah menjelaskan bahawa pembahagian kerusi peringkat Parlimen antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu telah selesai.

Menurutnya secara berseloroh, kesemua calon yang disenaraikan adalah lebih muda daripada penyandang kerusi Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, selain memiliki rupa paras yang kacak dan cantik.

"Semua (kepimpinan PN di peringkat) negeri di (seluruh) Malaysia akan serahkan (senarai nama calon PRU-15) kepada PN Pusat pada 16 (Oktober),

"Calon-calon semua handsome, comel, lawa, semua okey (bagi saya), semua (calon) muda, 100 peratus muda kalau dibandingkan dengan Tun (Dr) Mahathir (Mohamad)," katanya.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah, di Bangunan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) pada Khamis.

Terdahulu, selepas berteka-teki mengenai hubungan dengan UMNO menjelang PRU15, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada Khamis, akhirnya memutuskan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Menerusi satu kenyataan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15 itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah.

Menurut Abdul Hadi, mesyuarat itu juga memutuskan untuk Pas memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN.

Jelasnya, semua calon daripada peringkat negeri perlu diangkat untuk penilaian Majlis Syura Ulama terlebih dahulu.

Dalam pada itu, berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Abdul Hadi berkata mesyuarat itu memutuskan untuk mengekalkan pendirian tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah.