Semua pihak perlu bergerak ke hadapan, fokus pembangunan negara - Zahid

Bernama
Disember 19, 2022 04:40 MYT
Ahmad Zahid berkata kejayaan usul itu dengan lebih suara bersetuju, menunjukkan lunas demokrasi apabila rakyat melalui wakil rakyat mereka di Dewan Rakyat telah memberikan mandat yang jelas kepada Kerajaan Perpaduan. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diluluskan Dewan Rakyat pada Isnin, merupakan manifestasi buat semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang, untuk bergerak ke hadapan dan memberi seluruh tumpuan membangunkan negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kejayaan usul itu dengan lebih suara bersetuju, menunjukkan lunas demokrasi apabila rakyat melalui wakil rakyat mereka di Dewan Rakyat telah memberikan mandat yang jelas kepada Kerajaan Perpaduan.
"Alhamdulillah, maka kini sudah jelas lagi tuntas akan keabsahan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kerajaan Perpaduan," katanya dalam perkongsian di Facebook semalam.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kestabilan politik amat penting agar rakyat negara ini dapat bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan, untuk membina negara ke arah yang lebih baik.
Beliau berkata rakyat hari ini mendambakan kerajaan yang bekerja dan berfungsi untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara dan oleh itu, isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat akan menjadi fokus utama bagi Kerajaan Perpaduan.
Ahmad Zahid berkata pelbagai cabaran dalam urusan ekonomi dan kewangan negara pada tahun mendatang, memerlukan sokongan semua pihak dalam memastikan kelangsungan kehidupan rakyat.
"Perancangan dan pelaksanaan dasar serta polisi yang mampan, akan menghasilkan sebuah negara lebih maju dan sejahtera," kata beliau.
Dalam perkongsian sama, Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan buat bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun, atas perkhidmatan beliau selama ini serta mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada Datuk Johari Abdul yang menggantikannya.
Johari yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mewakili kerajaan, mendapat undian 147 undi berbanding bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mendapat 74 undi.
-- BERNAMA
#usul undi percaya #Anwar Ibrahim #Zahid Hamidi #PM10
;