Semua pihak bertanggungjawab atas keputusan PRN - Majlis Ulama UMNO
Sinar Harian
Ogos 19, 2023 23:08 MYT
Ogos 19, 2023 23:08 MYT
SHAH ALAM: Keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini menjadi tanggungjawab bersama yang mesti digalas dan dimuhasabah oleh semua pihak dalam UMNO.
Majlis Ulama UMNO berkata, tanggungjawab itu tidak hanya diletakkan ke atas individu tertentu sahaja.
Justeru tegasnya, setiap ahli dan pemimpin perlu terus bangkit memimpin kekalahan agar bertukar menjadi kemenangan pada masa hadapan.
“Rasulullah SAW dan sahabat terus bangkit pasca kekalahan umat Islam dalam perang Uhud menentang Musyrikin akibat kegagalan patuh kepada arahan baginda sebagai pemimpin, akhirnya diganti dengan kemenangan besar dalam perang Ahzab.
"Kebersamaan seluruh peringkat ahli dan kepimpinan adalah rahsia kemenangan organisasi sebagaimana diperingatkan oleh ALLAH dalam Surah al-Anfal ayat 46,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan, timbul desakan daripada akar umbi UMNO agar pucuk pimpinan memikul tanggungjawab atas prestasi buruk parti itu pada PRN di Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.
UMNO selaku satu-satunya parti yang mewakili Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya itu hanya berjaya meraih 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.
Dalam pada itu, Majlis Ulama UMNO menegaskan, pilihan raya merupakan medan mengukur kekuatan parti dari semasa ke semasa dan apabila berakhir, ahli parti perlu segera bangkit menyusun gerak kerja serta strategi baharu dengan lebih baik.