Semua parti pembangkang perlu bergabung - Pemuda Amanah
Irwan Muhammad Zain
Disember 16, 2020 16:26 MYT
Disember 16, 2020 16:26 MYT
KUALA LUMPUR: Kekuatan 108 Ahli Parlimen pembangkang perlu dikekalkan kerana ia merupakan suara terkuat lawan dalam sejarah demokrasi negara, kata Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin
Tegas Shazni, suara ini wajar dijadikan kekuatan dan jika diurus dengan baik pembangkang boleh menjadi kembali membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.
“Suara 108 ahli Parlimen yang dipunyai pembangkang hari ini – walaupun masih gagal menolak Belanjawan 2021 – tetap merupakan suara terkuat pembangkang dalam sejarah demokrasi negara.
“Kekuatan ini tidak harus dipersiakan, bahkan perlu diurus dengan baik melalui meja rundingan dalam menuju PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Ujar Shazni lagi, pembangkang hari ini perlu sedar bahawa mereka akan kekal kuat dan berpotensi memenangi semula hati rakyat apabila mereka bersatu-padu dan bekerjasama.
Tegasnya, dengan seluruh kecelaruan dasar kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang hanya memfokuskan untuk memberikan laba politik kepada ahli-ahli Parlimen mereka dalam mengekalkan sokongan yang tipis, pembangkang perlu lebih kukuh menyemak dan imbang seluruh perjalanan kerajaan.
“Malah lebih jauh, pembangkang sudah boleh bermula dengan cadangan formula agihan kerusi sebagai persediaan PRU akan datang.
“Perbincangan mungkin tidak harus bersifat rigid dan tertutup, namun kesediaan semua parti di blok pembangkang untuk berunding dan bertolak-ansur pastinya menjadi permulaan yang baik dalam membentuk gabungan besar yang lebih kukuh,” menurut kenyataan itu lagi.
Pembangkang kini terbelah dua dengan sebahagian besar bersama Pakatan Harapan (PH) manakala selebihnya merupakan tidak bersama gabungan tersebut.
#pemuda
#Parti Amanah Negara
#Amanah
#Shazni Munir Mohd Ithnin
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#Perikatan Nasional
#Ketua Pemuda Parti Amanah Negara
#Belanjawan 2021