Semua MP digesa hadir ke Parlimen 19 Julai jika kerajaan masih berdiam diri - Pakatan Harapan

Hilmi Malik
Julai 2, 2021 06:51 MYT
Kesemua Ahli Parlimen digesa hadir ke Parlimen pada 19 Julai ini jika kerajaan gagal kemuka jawapan berhubung tarikh pembukaan Parlimen, gesa Majlis Presiden Pakatan Harapan. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR : Kesemua Ahli Parlimen digesa untuk bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai ini sekiranya kerajaan masih tidak membuat sebarang pengumuman berkaitan pembukaan sidang Parlimen.
Gesaan yang dibuat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) itu turut memberi tempoh sehingga 5 Julai ini kepada kerajaan untuk mengemukakan tarikh pembukaan sebelum mereka bertindak hadir ke Parlimen pada tarikh tersebut.
Majlis berkenaan juga dalam masa sama menyifatkan tindakan kerajaan sebagai satu penderhakaan bukan sahaja kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi juga kepada Raja-Raja Melayu yang telah menzahirkan pandangan berhubung pembukaan segera sidang Parlimen.
“Sekiranya Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya masih berdegil menderhaka kepada Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu maka mereka bertanggungjawab mencetuskan krisis Perlembagaan,” tegas Majlis Presiden PH dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Kenyataan itu dikeluarkan atas nama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Ketiga-tiga pemimpin itu turut menegaskan, Majlis Presiden PH meneliti dan memandang serius kenyataan media Istana Negara bertarikh 29 Jun 2021.
“Ini adalah kenyataan yang amat bersejarah kerana merupakan kali ketiga KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh dan perlu bersidang.
“Majlis Presiden turut meneliti kenyataan media bersama Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bertarikh 30 Jun 2021, bahawa satu persidangan khas Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos 2021 dicadangkan kepada Perdana Menteri.
“Namun kami kesal bahawa sehingga hari ini Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang langkah konkrit untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021,” jelas kenyataan itu.
BACA: Agong ulangi titah, Parlimen perlu bersidang secepat mungkin - Istana Negara
Kenyataan tersebut turut menegaskan, isu pandemik dan masalah rakyat perlu dibahaskan segera selain menolak isu politik apabila melihat kepada keadaan rakyat yang semakin tertekan sehingga ada yang bertindak membunuh diri dan mengibarkan bendera putih sebagai tanda terdesak kerana tekanan hidup.
“Sidang Parlimen yang perlu diadakan sebelum 1 Ogos 2021 ini mesti membahaskan krisis pandemik COVID-19 serta Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara, seperti titah pandangan Seri Paduka Baginda,” kata kenyataan itu lagi.
Pada 29 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Tuanku berpandangan, persidangan itu perlu dilakukan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen Malaysia.
#Anwar Ibrahim #PKR #Pakatan Harapan #Yang di-Pertuan Agong #Perdana Menteri #Parlimen #pandemik #COVID-19