Semua kaki bodek sudah tidak relevan dalam UMNO - Khairuddin
Wan Syamsul Amly
Februari 8, 2015 10:58 MYT
Februari 8, 2015 10:58 MYT
Ahli UMNO dinasihat tidak lagi mengamalkan dasar mengampu dan membodek pemimpin tertinggi parti terutama tindakan cuba mempertahankan isu syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kenyataan dangkal Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo yang mahu mematahkan segala agenda jahat yang didakwanya mengenai 1MDB harus difikirkan Ismail sekali lagi.
"Saya amat tertarik dengan kenyataan Ismail yang lemah mindanya, kalau hendak mengampu pun berpada-padalah. "Apa yang Ismail tahu mengenai 1MDB? Jangan hendak menyerbu secara membabi buta. Nanti buruk padahnya.
"Kalangan kaki bodek seperti ini sudah tidak relevan lagi di dalam UMNO. Rakyat pun sudah menyampah dengan pemimpin minda lemah seperti ini," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Khairuddin mengulas kenyataan Ismail dan beberapa Ketua UMNO bahagian yang mahu bangkit dan mematahkan agenda jahat pihak tertentu yang cuba melakukan sabotaj terhadap ekonomi negara dan 1MDB.
Himpunan Ketua UMNO berkenaan turut berikrar berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha membawa negara mengharungi segala cabaran yang bakal mendatang.
Khairuddin sebelum ini menggesa pihak berkuasa menyiasat pengarah syarikat terbabit selain mahu membuat laopran polis ke atas Najib jika tiada tindakan diambil.
Tegas Khairuddin, setiap tindakannya tidak pernah dipengaruhi mana-mana pihak selain mengakui perjuangannya untuk menegakkan kebenaran.
"Saya mahu menyelamatkan wang kerajaan serta wang rakyat. Sebagai pembayar cukai dan rakyat yang bertanggungjawab, kita mesti menentang segala bentuk kemungkaran di negara kita seandainya mahu UMNO dan dan Barisan Nasional (BN) terus relevan," ujarnya.
Tegasnya lagi, amaran Ismail merupakan salah satu contoh yang boleh disimpan di dalam kocek dan tidak lagi boleh dipakai kini.
"Amaran Ismail boleh disimpan di dalam kocek, kaki bodek seperti ini sudah tidak laku lagi di dalam UMNO.
"Kita mesti berani bercakap benda yang benar dan hakikat untuk menjaga kepentingan rakyat tanpa memilih bulu. "Ismail jangan masuk campur di dalam perkara yang dia sendiri tidak tahu. Lebih baik Ismail tumpu buat kerja dan fikir bagaimana mana hendak tawan semula Selangor untuk UMNO dan BN. "Jangan jadi badut dan tunjuk pandai dalam isu 1MDB. Kenapa hendak melatah sangat dengan isu 1MDB yang hakikatnya tidak ada kena mengena dgn UMNO?" tegasnya.
Kata Khairuddin, Ismail juga diminta tidak memperbodohkan rakyat dengan hikayat perjuangan menyelamatkan dana kerajaan demi kepentingan rakyat versi dirinya sendiri.
"Jangan cuba hendak perbodohkan rakyat. Ismail jangan cuba hendak tunjuk hero dengan isu yang dia sendiri tidak faham.
"Inilah masalah dengan segelintir daripada pemimpin UMNO yang tidak faham isu serta tidak boleh ditegur langsung.
"UMNO adalah parti yang terbaik untuk menjaga kepentingan bangsa, agama dan tanah air tetapi dalam masa yang sama kita bukan maksum dan tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan," katanya.
Jelasnya, proses tegur menegur yang membina amat diperlukan di dalam UMNO agar perjuangan tidak tersasar dari landasan sebenarnya demi survival parti di negara ini. Khairuddin sebelum ini membuat laporan polis dan meminta siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca masalah kepincangan pentadbiran kewangan yang dihadapi syarikat tersebut.
Tindakan Khairuddin turut mendapat sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang menyatakan tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat 1MDB berkaitan pelaburan sebanyak RM8.3 bilion yang dilaburkan di Kepulauan Cayman.
Dr Mahathir berkata penjelasan yang diberikan oleh 1MDB bahawa pelaburan tersebut telah diperolehi semula tidak memberi apa-apa pencerahan.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memberi jaminan akan bertindak secara telus dan profesional dalam isu melibatkan 1MDB selaras dengan Akta SPRM 2009.