Semua jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dipertandingkan - Syed Hamid
Wan Syamsul Amly
Januari 8, 2020 14:14 MYT
Januari 8, 2020 14:14 MYT
Semua jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2019-2022 dipertandingkan semasa pemilihan tertinggi parti itu yang akan diadakan pada 4 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata, pemilihan itu akan dibuat pada tarikh berkenaan, termasuk keputusan pada hari yang sama.
"Untuk pemilihan tertinggi akan diadakan pada 4 April. Pada 20 Jun tidak ada pemilihan, semua jawatan dipertandingkan sebelum itu. Pada 20 Jun fokusnya hala tuju parti.
"Pemilihan itu akan menggunakan sistem seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ia memastikan perjalanan baik dan bersih," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Parti Bersatu di sini, hari ini.
Bersatu akan mengadakan pemilihan peringkat cawangan dan bahagian yang masing-masing dijadualkan berlangsung dari 25 Januari hingga 1 Mac serta 4 April depan.
Sempena persidangan cawangan, Bersatu akan mengadakan pemilihan barisan jawatankuasa peringkat cawangan, bahagian dan MPT, termasuk sayap Srikandi serta Armada.
Sebanyak 2,946 cawangan layak menjalankan mesyuarat bermula 25 Januari sehingga 1 Mac ini.
Sementara, seramai 377,057 orang ahli layak hadir persidangan untuk memilih jawatankuasa cawangan dan bahagian Bersatu kali ini.
Menurut Syed Hamid, seramai 70 pegawai akan menyelia pemilihan kali ini dengan dibantu 825 orang untuk memastikan proses demokrasi berjalan lancar selain ahli berpuas hati untuk menjalankan mesyuarat agung di semua peringkat.