Semua calon Permatang Pauh selesai serah borang penamaan

Astro Awani
April 28, 2018 11:02 MYT
Selain Nurul Izzah, kerusi Permatang Pauh juga bakal ditandingi Mohd Zaidi Mohd Said yang mewakili BN dan Afnan Hamimi Taib Azamudeen (Pas). - Gambar fail
Kesemua calon dari BN, PH dan Pas yang bertanding bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh (P044) dan Kerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Permatang Pasir,dan Penanti bagi Pilihanraya Umum ke 14 selesai menyerahkan borang penamaan calon kira kira jam 9.30 pagi.
Calon-calon tersebut adalah Mohd Zaidi Mohd Said yang mewakili Barisan Nasional (BN), Nurul Izzah Anwar (PH) dan Afnan Hamimi Taib Azamudeen (Pas).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya (P044) Mohd Ali Sebran mengumumkan proses penyerahan borang calon ditutup jam 10 pagi.
Beliau dijangka akan mengumumkan nama calon yang bertanding pada PRU kali ini selepas semua proses selesai.
Sementara itu, suasana persekitaran pusat penamaan calon dalam keadaan tenang yang dikawal ketat oleh anggota polis.
Penyokong ketiga-tiga parti masing-masing bersemangat melaungkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh disandang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menewaskan Suhaimi Sabudin (BN-UMNO) dengan majoriti 8,841 undi pada pilihan raya kecil Mei 2015.
Suruhanjaya Pilihanraya menetapkan hari pengundian bagi PRU14 diadakan pada 9 Mei depan.
#Barisan Nasional #calon #DUN #MalaysiaMemilih #P044 #Pakatan Harapan #Parlimen #PAS #penamaan calon #Permatang Pauh
;