Semua ahli perlu akur dan patuh keputusan MKT UMNO - Ahmad Zahid

Rahimah Abdullah
Mac 2, 2023 23:32 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua anggota parti agar sentiasa akur dan patuh dengan keputusan dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua anggota parti agar sentiasa akur dan patuh dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO.
Dalam masa sama, Presiden UMNO itu berkata langkah itu penting walaupun beliau secara peribadi meraikan perbezaan pendapat dan pandangan yang diutarakan oleh mana-mana pihak.
"Saya sangat-sangat meraikan perbezaan pendapat, berlainan pandangan. Ini terbukti dalam banyak (mesyuarat) Majlis Tertinggi yang saya pengerusikan.
"Satu perkara lagi, yang saya amat-amat hormati pada (mesyuarat) majlis pimpinan tertinggi dengan biar pun perbezaan pandangan dan pendirian, tetapi apabila majlis tertinggi membuat keputusan, kita akur dan patuh kepada keputusan yang telah kita lakukan," katanya ketika berucap di majlis pengumuman calon UMNO pemilihan peringkat pusat di sini pada Khamis.
Ahmad Zahid juga mahu semua anggota memilih calon yang baik dan mampu membuktikan bahawa UMNO sebagai parti pilihan.
"Semangat ini yang kita mahu terjemahkan. Pilihlah calon-calon yang baik dan kita buktikan kepada dunia luar atau parti luar sana yang memandang bahawa seolah kita berlainan pemikiran," ujarnya lagi.
Beliau juga mahu semua pihak berkempen secara baik dan mengikut garis panduan yang ditetapkan sepanjang pemilihan parti.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga akan jelajah ke seluruh negeri bagi memastikan proses pencalonan berjalan dengan baik.
"Kempenlah dengan cara baik mengikut garis panduan diberikan. Ibu pejabat yang saya ketuai akan pergi ke setiap negeri untuk adakan pencalonan ini. Kami mahu kemeriahan sebegini dipertahan dan digunakan tata etika untuk diikuti sepenuhnya," tambah beliau.
#Barisan Nasional #majlis tertinggi #UMNO #Zahid Hamidi
;