Semua ADUN Kelantan perlu jalani ujian RT-PCR pada 1 Dis - Speaker

Bernama
November 26, 2021 05:57 MYT
Abdullah berkata persidangan dewan akan dilaksana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19. -Bernama
KOTA BHARU: Kesemua 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan perlu menjalani ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata (RT-PCR) COVID-19 pada 1 Dis depan di Dewan Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub berkata persidangan dewan akan dilaksana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19.
"SOP kita sama seperti sebelum ini iaitu semua pihak yang terlibat seperti ADUN, ketua jabatan dan pengamal media perlu melakukan ujian COVID-19 sebelum menghadiri persidangan.
"Ini bagi memastikan semua yang hadir adalah sihat malah mereka yang hadir juga perlu menggunakan pelitup muka, mengimbas Kod QR dan menjaga penjarakan fizikal," katanya ketika dihubungi Bernama.
Belanjawan Kelantan 2022 dijangka dibentang pada 2 Dis manakala sidang DUN akan bersambung pada 5 hingga 7 Dis dengan setiap ADUN membahaskannya.
Kali terakhir Persidangan DUN Kelantan diadakan ialah pada 23 hingga 25 Ogos lepas dengan dihadiri kesemua ADUN yang mengamalkan norma baharu.
-- BERNAMA
#ADUN Kelantan #SOP #rT-PCR #COVID-19
;