Semua ADUN Bersatu, Pas dititah menghadap, Sultan Nazrin perlu diyakinkan majoriti

Harits Asyraf Hasnan
Disember 8, 2020 03:58 MYT
Datuk Seri Annuar Zaini berkata, Sultan Nazrin perlu diyakini terlebih dahulu sebelum memutuskan individu yang akan menjadi Menteri Besar Perak Ke-14. - Gambar BERNAMA
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk menghadap baginda hari ini.
Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Annuar Zaini berkata, Sultan Nazrin perlu diyakini terlebih dahulu sebelum memutuskan individu yang akan menjadi Menteri Besar Perak Ke-14.
Titah itu dibuat Sultan Nazrin pasca majlis menghadap oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sebelah pagi.
“Duli Yang Maha Mulia (DYMM) menerima maklumat dan status terkini daripada apa yang dipersembahkan.
“DYMM perlu diyakinkan bahawa perkara yang dipersembahkan itu perlu dibuktikan terlebih dahulu.
“Oleh kerana itu, selanjutnya DYMM telah menitahkan semua ADUN Bersatu dan Pas untuk datang menghadap pada bila-bila masa hari ini.
“Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar akan hanya dilaksanakan setelah DYMM yakin sudah ada majoriti mudah untuk menubuhkan Kerajaan Negeri Perak,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Istana Kinta pada Selasa.
Ditanya sama ada ADUN Pakatan Harapan Perak juga dipanggil menghadap, Annuar berkata buat masa ini hanya ADUN Bersatu dan Pas sahaja.
[LAPOR LANGSUNG] Ahmad Zahid menghadap Sultan Perak
#politik perak #Menteri Besar #krisis politik #Sultan Perak #Sultan Nazrin Muizzuddin Shah #Ahli Dewan Undangan Negeri #ADUN #Bersatu #PAS #UMNO