Semua 1,754 pusat mengundi PRN Sarawak ditutup pukul 5 petang

Astro Awani
Mei 7, 2016 09:13 MYT
Sehingga ditutup proses pengundian dilaporkan lancar tanpa ada insiden yang tidak diingini. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Kesemua 1,754 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) ke 11 yang dibuka sejak 8 pagi tadi ditutup dengan rasminya pada pukul 5 petang tadi, bermakna bermulanya proses pengiraan undi bagi menentukan kemenangan calon.
Peti-peti undi kini akan dibawa ke pusat-pusat pengiraan undi yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi penjumlahan undi.
Sehingga pukul 4 petang tadi peratusan mereka yang keluar mengundi adalah 54 peratus, masih kurang dari jangkaan asal SPR iaitu sekitar 75 peratus.
Keputusan rasmi dijangka dapat diketahui seawal pukul 6 petang ini dan selewat-lewatnya tengah malam nanti bergantung kepada keadaan cuaca.
Sehingga ditutup proses pengundian dilaporkan lancar tanpa ada insiden yang tidak diingini.
LAPOR LANGSUNG: Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11
PRN Sarawak diadakan susulan pembubaran DUN Sarawak pada 11 April lepas,.
Ia menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dun baharu berikutan persempadanan semula kawasan, menjadikan jumlah kerusi bertambah kepada 82 daripada 71, sebelum ini.
Lebih 1.13 juta rakyat Sarawak layak mengundi dalam pilihan raya kali ini bagi memilih wakil mereka untuk lima tahun akan datang. Dua darinya telahpun disi calon Barisan Nasional yang menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon.
Untuk hari ini, BN bertanding di 80 Dun, PKR (40 Dun), DAP (31 Dun), Parti Amanah Negara (13 Dun), PAS (11 Dun), STAR (11 Dun), PBDS Baru (5 Dun) selain 35 calon Bebas turut bertanding.
Pada 3 Mei lepas, 72 peratus daripada 24,604 pengundi awal terdiri daripada anggota pasukan keselamatan telah menunaikan tanggungjawab dalam pengundiaan awal.
Pada PRN 2011, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi DUN, manakala DAP menguasai 12 kerusi, PKR (3) dan Bebas (1)
#Adenan Satem #Barisan Nasional #BN #PBB #pilihan raya Sarawak #PRN-11 #sarawak2016 #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya