'Semoga saya mendapat keadilan di mahkamah...' - Muhyiddin

Nickyson Nyambar
Ogos 27, 2024 18:11 MYT
Muhyiddin mengeaskan beliau tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas dakwaan yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen Gua Musang. - Foto FB Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR : Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap beliau akan mendapat keadilan susulan dakwaan Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadapnya.
Beliau dalam kenyataannya di Facebook pada Selasa berkata, beliau tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas dakwaan yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen Gua Musang.
"Saya berdoa ke hadrat Allah SWT semoga saya akan mendapat keadilan di mahkamah.
"Saya juga mengharapkan doa dan sokongan daripada anda semua.
"Sesungguhnya Allah SWT bersama-sama hamba-hambaNYA yang bersabar.
"Berani kerana benar," tegas beliau dalam kenyataan itu.
Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini dikenakan dakwaan itu atas ucapannya yang dikatakan mempunyai kecenderungan menghasut rakyat dan menyentuh sensitiviti insitusi beraja.
Jelas beliau, ucapan yang disampaikan beliau adalah secara beralas tanpa mengandungi sebarang unsur provokasi.
Ujarnya Muhyiddin lagi, beliau secara jelas menyebut bahawa beliau tidak mahu mengatakan apa-apa perkara buruk mengenai Raja.
Muhyiddin yang didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan hari ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut perkataan yang menghasut berkaitan kaum, agama dan raja (3R) dalam ucapannya ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.
#Akta Hasutan 1948 #dakwaan #Presiden Bersatu #Tan Sri Muhyiddin Yassin #bekas perdana menteri
;