Semakin banyak insentif untuk rakyat Selangor disekat - Ketua Pembangkang

Astro Awani
Ogos 23, 2019 15:00 MYT
RIZAM: Semakin banyak insentif untuk rakyat Selangor disekat dan dinafikan hak walaupun sudah dijanjikan atau pernah diberi sebelum ini. - Gambar Astro AWANI
Semakin banyak insentif untuk rakyat Selangor disekat dan dinafikan hak walaupun sudah dijanjikan atau pernah diberi sebelum ini.
Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menegaskan, isu itu sekali gus menjadikan rakyat negeri itu semakin tertekan dan merasa terperdaya selepas memberi kerajaan ini kepercayaan untuk mentadbir.
"Suka saya ingatkan di sini tentang bagaimana cadangan awal penstrukturan semula pemberian air percuma yang sebelum ini diberikan kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira latar belakang telah diterhadkan kepada hanya golongan B40. Sudahlah begitu, kelayakan pula adalah terhad kepada mereka yang berdaftar dan mempunyai profil data dalam senarai e-Kasih.
"Selain itu, pemberian wang tunai RM1,500 kepada semua anak kelahiran Selangor menerusi Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) juga telah dikecilkan skopnya terhad kepada remaja berusia 18 tahun yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi sahaja.
"Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam Belanjawan 2019 telah berjanji akan berbincang dengan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) untuk meneruskan program ADAM50 yang sebelum ini dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan, tetapi sehingga kini langsung tiada berita tentang perkara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
BACA: Wang khairat kematian: MB Selangor akan umum manfaat lain - Halimey
BACA: ADAM50 dihentikan akhir tahun - Zeti
Terdahulu, Setiausaha Politik Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah dalam satu kenyataan menggambarkan penjajaran semula pelbagai insentif bukanlah bersifat pemotongan sebaliknya disusun semula dengan tumpuan dialih kepada proses pemberdayaan rakyat.
Dalam pada itu kata Rizam, Borhan turut diingatkan bagaimana Insentif Perkahwinan Belia berjumlah RM500 yang telah ditarik balik dan digantikan dengan kursus asas perkahwinan yang sehingga kini masih tidak diketahui sejauh mana keberkesanannya.
Selain itu jelasnya, Skim Mesra Usia Emas yang sebelum ini memperuntukkan wang khairat kematian sejumlah RM2,500 juga telah dikurangkan kepada baucar shopping RM100 setahun atau dengan bahasa mudahnya, nilai warga emas di mata kerajaan Negeri hanyalah 27 sen sehari.
"Saya sarankan agar Borhan dapat menonton semula rakaman sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu iaitu ketika Menteri Besar memohon peruntukan tambahan disebabkan kegagalan membuat perancangan rapi tentang belanjawan negeri.
"Ramai rakan-rakan ADUN dari parti Borhan sendiri yang telah membangkitkan tentang perkara-perkara yang telah saya sebutkan.
"Apa yang saya kata adalah suatu bukti nyata yang sememangnya benar-benar berlaku. Borhan boleh terus bermain 'silat lidah' untuk mempertahankan Menteri Besar kesayangannya tetapi janganlah sehingga menafikan realiti sebenar yang berlaku," ujarnya.
Borhan sebelum ini dilaporkan berkata, pendekatan pentadbiran Selangor kali ini menumpu kepada pemberdayaan berbanding pemberian semata-mata.
Di samping meneruskan dasar-dasar pro-rakyat, Borhan menjelaskan kerajaan Selangor turut memberi keutamaan kepada perkembangan ekonomi dan bukan hanya sekadar kebajikan.
#ADAM50 #ADUN #air #Amanah #ASNB #ekonomi #kerajaan #Menteri Besar #pembangkang #perkahwinan #TAWAS
;