Semak latar belakang, kesahihan kelayakan akademik calon Exco Johor dengan teliti - Sultan Ibrahim

Muhammad Aiman Hakeem
Mac 17, 2022 16:44 MYT
Titah Sultan Ibrahim, sudah tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor. - Gambar/ IG/ officialsultanibrahim
JOHOR BAHRU: Calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta, selain melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima mengadap Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi yang berlangsung kira-kira sejam, dekat sini, semalam, yang dikongsikan menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Menerusi pertemuan yang berlangsung selama hampir sejam itu, baginda turut bertitah supaya kelayakan akademik setiap calon-calon juga disemak kesahihannya dengan teliti.
Titah Sultan Ibrahim, dengan berakhirnya Pilihan Raya Johor, sudah tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor.
"Saya pegang kata-kata Datuk Hasni Mohammad, tiada ideologi ahli politik dan parti yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta'zim.
"Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jangan kecil hati. Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya," titah baginda.
MB Johor ke-19 | Datuk Onn Hafiz Ghazi mulakan tugas rasmi
BACA: Onn Hafiz mula tugas sebagai Menteri Besar
Titah baginda, nasib rakyat sentiasa diutamakan, begitu juga wakil rakyat yang dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada rakyat.
"Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan. Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat.
"Di peringkat awal ini, Datuk Onn juga perlu bekerjasama dengan Datuk Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat," titah baginda lagi.
Tiga hari lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di hadapan Sultan Ibrahim di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, di sini.
Onn Hafiz, 43, memenangi kerusi berkenaan dalam pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, sekali gus menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional, R Sangaran (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh (Parti Pejuang Tanah Air) dengan majoriti 6,543 undi.
#Sultan Johor #Menteri Besar Johor #EXCO Johor #kelayakan akademik
;