Selesai masalah 'pengundi hantu', SPR digesa cari kaedah kesan 'pengundi malaikat' pula

Vivi Sumanti
April 19, 2018 16:29 MYT
MOHD ALWI berharap SPR bersedia menghadapi kemungkinan itu, kerana SPR sudah terbukti berjaya menghalang pengundi hantu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mencari satu mekanisme bagi mengesan 'pengundi malaikat' selepas kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Nor Azariza Mohd Alawi yang mahu meminta bantuan 'malaikat' untuk mengundi Pas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).
Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad berkata, sekiranya SPR berjaya mengatasi masalah 'pengundi hantu', SPR juga dirayu supaya mengkaji kaedah mengesan 'pengundi malaikat' itu.
"Saya hendak merayu kepada SPR yang diketuai Tan Sri Hashim Abdullah supaya menyediakan prasarana yang cukup kerana bukan sahaja manusia yang akan membuang undi tetapi 'malaikat' akan datang mendaftar.
"Setakat ini (SPR) ada kaedah untuk mengesan pengundi hantu tetapi pengundi malaikat ini tiada lagi (kaedah)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nor Azariza yang mendakwa jika diizinkan Tuhan, 'malaikat' boleh membantu Pas mencapai kemenangan pada PRU14.
Sambil menyebut, Allah pernah membantu memenangkan Islam dalam perang Badar dan tidak mustahil dapat membantu Pas yang memperjuangkan Islam untuk memenangi PRU14.
Mohd Alwi dalam nada sinis berkata, pihaknya bimbang sekiranya 'malaikat' turun mengundi dan mendaftar sebagai pemilih, dengan menunjukkan kad pengenalan serta mengemukakan jari untuk di celup, samada ianya menggunakan daftar pemilih yang sah atau sebaliknya.
Namun tegasnya, jika 'malaikat' berkenaan menyerupai manusia dan membuang undi ianya dibimbangi menimbulkan kekeliruan apabila pengundi sebenar datang membuang undi pada hari pengundian 9 Mei depan.
“Saya berharap SPR bersedia menghadapi kemungkinan itu, kerana SPR sudah terbukti berjaya menghalang pengundi hantu,” katanya.
#kaedah #Malaysia Memilih #Nor Azariza Mohd Alawi #pengundi malaikat #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya
;