Selepas TMJ, Sultan Johor pula perkenan terima menghadap Anwar
Ridauddin Daud
November 27, 2022 16:31 MYT
November 27, 2022 16:31 MYT
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad.
Menerusi status dimuat naik di laman sosial baginda, sesi menghadap itu diadakan di Kuala Lumpur namun lokasi tepat tidak dikongsikan.
Pertemuan itu hadir sehari selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Anwar di satu lokasi tidak dimaklumkan pada Sabtu.
“DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur, hari ini (27 November).
“Datuk Seri Anwar telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November baru-baru ini,” menurut status dimuat naik dalam laman sosial tersebut.
Dalam status sama, Sultan Ibrahim turut berkongsikan empat gambar dalam sesi menghadap tersebut yang hanya menunjukkan Anwar dan Sultan Ibrahim di dalam sesi tersebut.
Semalam, Astro AWANI melaporkan Tunku Ismail berkongsi beberapa gambar pertemuan baginda dengan Ahli Parlimen Tambun itu, namun lokasinya tidak dimaklumkan.
Pertemuan itu turut disertai Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.