Selepas ‘pujukan’, Muhyiddin ubah pendirian tidak berundur

Madiha Abdullah
November 25, 2023 15:10 MYT
Kata Muhyiddin, keputusan itu dibuat bukan sahaja kerana sokongan ahli parti tetapi juga atas sokongan dan restu isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beliau akan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Presiden Bersatu bagi satu penggal lagi.
Kata Muhyiddin, keputusan itu dibuat bukan sahaja kerana sokongan ahli parti tetapi juga atas sokongan dan restu isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
"Dia kata, stay another term, jangan kecewakan mereka, they need you...mereka ikhlas, carry on, saya restu kerana Bersatu masih belum kuat..
"Saya jawab okey, I will stay for the last term. This is for the nation, abah must stay on.
"Saya nak nyatakan hasrat (hasil sokongan) pimpinan di atas juga, saya buat keputusan menawarkan diri bertanding (jawatan presiden)," katanya semasa membuat Ucapan Penggulungan Presiden Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023, pada Sabtu.
Dalam sidang media sejurus selepas itu, Muhyiddin berkata, antara perkara yang turut mempengaruhinya bertanding sepenggal lagi adalah kerana semangat penyatuan dalam parti serta keinginan untuk terus membantu rakyat, khususnya orang Melayu.
"Nampaknya ahli kita bersemangat luar biasa, penyatuan dan kekuatan bertambah. Ini memberi gambaran baik kepada orang Melayu bahawa Bersatu komited untuk berjuang bagi menghadapai masalah negara.
"Kegagalan Kerajaan Perpaduan hari ini membuatkan ramai merasa hidup tidak bertambah baik, kerajaan gagal tangani isu-isu besar seperti kos hidup yang tinggi. Itu disuarakan dengan jelas dan lantang.
"Saya sudah buat keputusan untuk tidak bertanding, itu memang tegas kerana saya rasa sudah sampai masanya diberi peluang kepada kepimpinan yang ada.
"Tetapi suara yang datang dari dalam dan luar sangat kuat sampai saya rasa saya kena fikir semasak-masaknya.
"Macam saya katakan tadi, bukan kuasa pimpinan parti atau majlis tertinggi tetapi sokongan dan restu isteri yang membuatkan saya berfikir semula dan akhirnya membuat keputusan (bertanding) untuk penggal akhir," katanya.
Terdahulu pada Jumaat, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Bersatu pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung tahun depan.
#Bersatu #Muhyiddin Yassin #pusingan u #jawatan presiden
;