Selepas PH menang, kepimpinan PKR lebih berat tanggungjawabnya - Tian Chua

Astro Awani
September 5, 2018 23:14 MYT
Tian Chua menjelaskan PKR pada satu ketika dianggap sebagai parti nyamuk yang tidak mempunyai suara dalam parlimen dan dituduh memperjuangkan kepentingan individu tertentu. - Gambar fail
Selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kepimpinan PKR berdepan tanggungjawab yang lebih berat, kata salah seorang calon Naib Presiden parti itu, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua.
Tian yang mempertahankan jawatannya dalam pemilihan kali ini berkata, ahli-ahli PKR perlu memastikan kepimpinan parti era Malaysia Baharu perlu dapat mengatasi segala cabaran.
"Kini cabaran bagi PKR ialah bagaimana kita terjemahkan reformasi yang pada satu ketika dahulu hanya laungan di tepi jalan, dalam perhimpunan, dalam bantahan dan pergerakan massa.
"Dahulu, ia dilihat sebagai tuntutan yang tidak realistik.
"Tapi jelas, kini rakyat telah berubah. Rakyat telah sahkan semual bahawa perjuangan ini adalah impian dan aspirasi umum," katanya ketika sesi debat calon Naib Presiden PKR di Astro AWANI malam ini.
BACA: Saya tidak melencong dari perjuangan - Shamsul Iskandar
Bekas ahli parlimen Batu itu menjelaskan, PKR pada satu ketika dianggap sebagai parti nyamuk yang tidak mempunyai suara dalam parlimen dan dituduh memperjuangkan kepentingan individu tertentu.
Namun katanya, PKR kini dilihat sebagai satu parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat sama seperti parti-parti lain.
Beliau menjelaskan sejak awal menyertai PKR, beliau kekal dengan pendiriannya bahawa parti itu tidak boleh bersendirian sebaliknya perlu bekerjasama dengan parti lain.
"Kita harus memastikan pengukuhan kerjasama dalam politik, itu adalah cara tunggal sahaja untuk mengatasi segala cabaran.
"Keputusan PRU14 lepas membuktikan peratusan yang menyokong Pas masih tinggi, dan kita tidak mahu terlepas sokongan itu," katanya lagi.
#debat #Johari Abdul #Malaysia #Naib Presiden #Nurul Izzah #pemilihan #PKR #Shamsul Iskandar #Tian Chua
;