Selepas Kamaruddin Jaafar tolak pencalonan, PAS pilih Wan Rosdi?

Irwan Muhammad Zain
September 11, 2014 12:17 MYT
Wan Rosdi pilihan PAS untuk bertanding di Dun Pengkalan Kubor?
Setiausaha PAS Tumpat Wan Rosdi Wan Ibrahim disebut-sebut bakal menjadi calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor.
Sumber dalaman PAS Kelantan memberitahu, Wan Rosdi yang juga penyelia Dun Pengkalan Kubor dipilih setelah Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar menolak pencalonan beliau dan mahu calon tempatan diberi peluang.
"Asalnya memang PAS Tumpat namakan Datuk KJ (Kamaruddin Jaafar) sebab dalam PRU13, biarpun calon PKR kalah di DUN Pengkalan Kubor tetapi Datuk KJ menang 400 undi.
"Sebab itu PAS Tumpat namakan dia untuk jadi calon, tapi Datuk KJ tolak dan cadangkan supaya pimpinan di Dun Pengkalan Kubor diberi peluang.
"Jadi setelah dinilai, Wan Rosdi merupakan calon terbaik sebab dia mesra dengan penduduk setempat dan merupakan anak tempatan," kata sumber tersebut kepada Astro AWANI.
Selain Wan Rosdi, dua nama lagi yang turut menjadi perhatian untuk dinamakan sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat, ialah Che Ibrahim Mohamed dan Rofien Hassan.
Dun Pengkalan Kubor adalah salah satu daripada empat Dun yang terletak dalam Parlimen Tumpat.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13, PAS menang di Dun Kelaboran, Pasir Pekan dan Wakaf Baru selain turut menang kerusi Parlimen Tumpat.
Kerusi Dun Pengkalan Kubor ditandingi oleh PKR dalam dua pilihan raya umum sebelum ini.
Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar daripada BN meninggal dunia akibat kanser pada 20 Ogos lalu.
Noor Zahidi mempertahankan kerusi DUN Pangkalan Kubor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu dengan majoriti 1,736 undi menewaskan calon PKR, Saharun Ibrahim yang mendapat 8,438 undi serta seorang calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya mendapat 65 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 September ini sebagai hari penamaan calon manakala hari mengundi pula pada 25 September.
#BN #PAS #Pengkalan Kubur #PRK
;