Selepas 70 tahun, dapatkah Pas terus relevan? Agenda AWANI 9 malam ini

Israr Khalid
Disember 15, 2021 17:13 MYT
Bersama Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin, jam 9 malam ini di Agenda AWANI.
KUALA LUMPUR: Tarikh 24 November tempoh hari genap 70 tahun Parti Islam Se-Malaysia (Pas) bertapak di arena politik tanah air.
Bermula sebagai Persatuan Islam Se-Tanah Melayu, Pas menongkah pelbagai arus, onak dan badai untuk terus berdiri menjulang bendera perjuangannya membawa syiar Islam sebagai jalan terbaik untuk memandu negara menuju kesejahteraan.
Dari Ahmad Fuad Hassan, panji perjuangan Pas diangkat tinggi dan disambut pemimpin-pemimpin seterusnya - Dr. Abbas Alias, Dr. Burhanuddin Hilmi, Tan Sri Mohd Asri Muda, Yusuf Rawa, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Fadzil Mohd Noor, Datuk Haron Din sehingga pemimpin hari ini, Datuk Hashim Jasin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Jatuh bangun negara, Pas menyaksikan segalanya. Biarpun berdekad berada di pihak yang membangkang Barisan Nasional (BN), Pas tetap ada untuk memastikan kelangsungan politik Melayu dan Islam di negara ini.
Namun selepas 70 tahun, adakah Pas akan terus menjadi sandaran terakhir tatkala parti politik Melayu lain tempang dan memerlukan sokongan?
Bilakah agaknya parti ini akan menjadi dominan dan akhirnya meneraju Malaysia ke jalan kebenaran yang sekian lama diperjuangkan?
Pada masa sama, tidak dapat dinafikan Pas masih dilihat sebagai sebuah parti yang eksklusif kepada orang Melayu dan Islam sahaja.
Maka untuk Pas terus relevan dalam zaman yang semakin terbuka ini, parti itu harus lebih terbuka juga untuk diterima masyarakat hari ini khususnya anak muda yang pemikirannya progresif dan kritikal - tanpa menggadaikan prinsip dan syariat Islam yang sekian lama dipegang erat.
Sesungguhnya Islam itu jalannya untuk sekalian umat manusia, dan jika benar Islam benar-benar yang diperjuangkan Pas, pasti ada jalannya. Persoalannya, bagaimana?
Malam ini jam 9 di pentas Agenda AWANI, kita bincangkan bersama jiwa muda dan progresif Pas, Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin.
#Agenda Awani #PAS #Khairil Nizam Khirudin
;