Selangor negeri pertama bakal anjur Program Setahun Bersama Kerajaan Madani

Bernama
Disember 10, 2023 17:58 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap majlis penutup Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Program Setahun Bersama Kerajaan Madani peringkat negeri akan dimulakan di Selangor pada Januari tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata melihat kepada kejayaan penganjuran program berkenaan selama tiga hari sejak Jumaat lepas di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, maka adalah wajar ia dianjurkan di negeri-negeri bagi memberi peluang kepada rakyat membuat penilaian mengenai Kerajaan Perpaduan.
"Setahun kita tadbir, laporkan (apa yang dilakukan) kepada rakyat dan rakyat datang buat penilaian sendiri, beri ruang kepada mereka untuk beri cadangan dan pandangan.
"Berikutan kejayaan ini (di Bukit Jalil), kita akan turunkan, pindahkan kemudahan (program) ini ke peringkat negeri dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari setuju memulakannya di Selangor," kata beliau ketika merasmikan majlis penutup Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selepas Selangor, penganjuran program akan diteruskan di negeri-negeri lain dengan kos lebih rendah selain turut mendapatkan bantuan daripada pihak kerajaan negeri.
[TERKINI] Amanat dan sesi dialog Malaysia MADANI bersama Perdana Menteri
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat menjayakan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas.
"(Penganjuran program itu) melibatkan semua jabatan, kementerian, agensi, GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan ini sangat membanggakan kerana dalam pameran ini, ia tidak mewakili satu jabatan, satu kementerian, satu menteri tetapi mewakili seluruh jemaah pimpinan masyarakat Madani," kata beliau.
Mengenai pentadbiran setahun Kerajaan Perpaduan, Anwar berkata rakyat dapat melihat sendiri setiap dasar mahupun pelan yang telah dilaksanakan oleh semua kementerian melalui program berkenaan.
"Dasar-dasar kerajaan baik Ekonomi Madani, peralihan tenaga, transfomasi digital ataupun kajian semula Rancangan Malaysia ke-12 dan pelan induk perindustrian dibentangkan, itu bukan hanya paparan atas kertas.
"Saya sebut tidak semua (pelaksanaan dasar kerajaan) di tahap sempurna dan memuaskan tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki dan kita mulakan dengan satu anjakan paradigma... bererti keberanian, kesungguhan melakukan anjakan dan perubahan dari kaedah dan cara lama supaya negara dan rakyat peroleh manfaat," katanya.
Pada masa sama, Anwar menekankan konsep demokrasi penyertaan dan demokrasi kebertanggungjawaban melibatkan kerjasama antara barisan Kabinet, pengurusan tertinggi kerajaan, penjawat awam, pihak swasta dan orang ramai perlu diamalkan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan untuk terus memacu kemajuan negara.
"Saya mohon supaya pengertian penyertaan demokrasi itu lebih bermakna dalam Kerajaan Madani kerana sudah sampai ketika kematangan politik tidak diserahkan kepada tokoh politik sahaja tetapi menyerahkannya kepada rakyat secara terus untuk menilai sendiri berdasarkan fakta dan bukannya auta.
"Saya percaya permulaan ini adalah satu yang baik, bermakna demokrasi penyertaan dari rakyat, dari akar umbi, kesatuan sekerja, golongan pekerja, petani dan nelayan, kerana usaha kita itu tidak akan bermakna kalau tidak memberi manfaat secara langsung kepada mereka," kata beliau.
Menyentuh mengenai demokrasi kebertanggungjawaban, Anwar berkata semua pemimpin dan pengurusan tertinggi kerajaan harus bertanggungjawab dalam tindakan mereka terutama bagi memastikan setiap projek dilaksanakan dengan baik.
Anwar berkata walaupun sesibuk manapun beliau tetap mengambil tanggungjawab untuk hadir ke persidangan Parlimen bagi sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri untuk memberi penjelasan mengenai isu-isu semasa.
"Walaupun agak sukar dan kadang-kadang membebankan saya (memberi penjelasan pada sesi) Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (di Parlimen) tetapi ia adalah satu contoh bagaimana kebertanggungjawaban harus dilaksanakan. Bukan sahaja dalam pilihan raya atau urusan Parlimen," kata beliau.
Atas kebertanggungjawaban sebagai Perdana Menteri, Anwar memberikan contoh kerajaan akan menyediakan dana ekonomi maksimum RM100,000 di setiap kampung untuk melaksanakan program atau projek pembangunan bersesuaian mengikut keutamaan mereka, bermula tahun depan.
-- BERNAMA
#Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI #peringkat negeri #Anwar Ibrahim #Kerajaan Perpaduan
;