Selagi PN berkuasa, GPS tiada masalah hadapi PRN - Jeniri
Syafik Shukri Jalil
Ogos 15, 2021 19:39 MYT
Ogos 15, 2021 19:39 MYT
KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan berdepan masalah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN-12) akan datang sekiranya Perikatan Nasional (PN) kekal mentadbir negara.
Bagaimanapun menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, sekiranya Pakatan Harapan (PH) pula dipilih untuk menerajui kepimpinan negara, GPS pasti akan konsisten dengan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan gabungan berkenaan.
‘’Kalau kekal kerajaan sedia ada (Perikatan Nasional), saya fikir ini tidak akan memberi kesan besar malah ini akan memberi kekuatan atau dukungan dan kelebihan kepada GPS.
“Tetapi kalaulah Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa itu akan bergantung lagi bagaimana reaksi dan langkah yang akan diambil GPS.
‘’Jalur pendirian atau jalur hujah itu dan naratif itu akan kekal selepas ini kalaupun berlaku perubahan,’’ katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Selain itu, Jeniri turut berharap sesiapa sahaja yang memimpin negara untuk terus komited meneruskan agenda tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang dilakukan menerusi pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Politik | Apa akan jadi sekiranya Perdana Menteri letak jawatan? - Felo
‘’Sebagai contoh di bawah PH dulu, mereka enggan menunaikan cukai jualan negeri (SST) berjumlah lima peratus itu (berkaitan produk petroleum negeri).
‘’Tetapi apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih kerajaan membentuk PN, SST itu telah dapat diselesaikan di luar mahkamah.
‘’Jadi ini adalah salah satu contoh bagaimana pemimpin khususnya PM yang ambil alih kuasa di Putrajaya harus memkirkan soal lebih besar bukan kepentingan politik kepartian yang sempit dan dangkal.
‘’Mereka harus pentingkan pembinaan negara bangsa dan pentingkan juga Sabah dan Sarawak, jika tidak ada Sabah dan Sarawak, tidak akan ada Malaysia.
#Gabungan Parti Sarawak
#GPS
#Abang Johari Tun Openg
#kemelut politik
#Perikatan Nasional
#Muhyiddin Yassin
#Pakatan Harapan
#Perjanjian Malaysia 1963
#MA63
#PRN Sarawak