Sekarang bukan masa sesuai UMNO tuntut jawatan TPM - Penganalisis politik
Astro Awani
November 29, 2020 18:33 MYT
November 29, 2020 18:33 MYT
KUALA LUMPUR : Sekarang bukan masa sesuai untuk mana-mana pemimpin UMNO membuat tuntutan atau meletakkan syarat terutamanya berkaitan jawatan timbalan perdana menteri.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, isu pokok yang perlu difahami ialah kuasa memilih timbalan perdana menteri adalah hak istimewa Perdana Menteri sendiri.
Menurutnya, tuntutan sebegitu harus diketepikan terlebih dahulu sebaliknya mereka perlu mengutamakan kesihatan rakyat dan negara serta meletakkan kepentingan negara melebihi individu atau parti.
“Meletakkan syarat atau tuntutan bukanlah satu perkara yang sesuai sekarang terutamanya dalam keadaan negara masih lagi dibelenggu dengan krisis kepimpinan... krisis politik.
“Walaupun pembentangan belanjawan telah diluluskan (peringkat dasar) namun kita dapati masih ada tekanan daripada pembangkang yang cuba gagalkan kelululusan belanjawan di peringkat jawatankuasa.
“Dalam keadaan sekarang, membuat tuntutan yang bersifat menimbulkan satu keadaan yang tidak stabil pastinya akan mengundang rasa kurang selesa di mata masyarakat,” katanya kepada Astro AWANI.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan UMNO akan membangkitkan semula kedudukan jawatan itu sebaik sahaja perbahasan pembentangan Belanjawan 2021 selesai di Dewan Rakyat.
Menurutnya, isu jawatan timbalan perdana menteri tidak pernah didiamkan kerana parti berkenaan merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini.
Begitupun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meminta pemimpin dan anggota UMNO tidak mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri dengan memberikan kuota kepada parti itu.
Beliau berkata kuasa pelantikan timbalan perdana menteri, menteri dan timbalan menteri terletak sepenuhnya kepada budi bicara perdana menteri.
Dalam pada itu, nada berbeza disuarakan penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Dr Awang Azman Awang Pawi.
Menurutnya, isu jawatan tersebut masih relevan untuk dibangkitkan kerana ia seolah-olah disenyapkan sekarang.
“Kalau kita lihat kewajaran isu ini untuk dimainkan atau mungkin berhenti buat sementara, saya kira isu ini ialah satu isu yang relevan, banyak diperkatakan dalam kalangan akar umbi UMNO.
“Kita tahu bahawa UMNO atau Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti terbesar dalam PN, kemudian pelantikan jawatan Kabinet tidak berdasarkan hierarki parti kecuali Menteri Kanan Pertahanan dipegang Ismail Sabri,” ujarnya.
Tambah beliau, isu tersebut juga perlu dibangkitkan dari semasa ke semasa agar UMNO tidak kelihatan seperti akur dengan situasi yang ada.
#TPM
#Timbalan Perdana Menteri
#jawatan
#UMNO
#tuntut
#Muhyiddin Yassin
#Zahid Hamidi
#Perdana Menteri
#Barisan Nasional
#BN
#UM
#politik
#kerajaan
#presiden
#kabinet
#Belanjawan 2021
#Perikatan Nasional
#PN