Sekali lagi, Musa Aman gagal angkat sumpah

Fifi Harteeny Marzuki
Ogos 24, 2018 09:47 MYT
Pihak Musa dilaporkan telah membuat panggilan kepada Speaker DUN sebelum tiba di tanah air beberapa hari lalu untuk upacara mengangkat sumpah hari ini. - Gambar fail
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang dijangka akan mengangkat sumpah hari ini 'sekali lagi' gagal menghadirkan diri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Ahmad Abdul Rahman berkata, pihak Musa telah membuat panggilan kepada Speaker DUN sebelum tiba di tanah air beberapa hari lalu untuk upacara mengangkat sumpah hari ini.
"Pihak beliau (Musa Aman) ada menelefon pihak DUN untuk sesi mengangkat sumpah sebelum beberapa hari beliau kembali ke tanah air.
"Disebabkan oleh perkara yang tidak dapat dijangka, Musa tidak hadir di DUN hari ini dan pihak kami tidak tahu apa sebab-sebab kenapa beliau tidak hadir hari ini.
"Berikanlah beliau peluang, jangan kelam-kabut kerana beliau masih ada masa sehingga 11 September ini untuk mengangkat sumpah. Jika Musa berhak untuk mengangkat sumpah, kita berikan beliau untuk berbuat demikian dan jangan kelam kabut," katanya kepada media ketika ditemui di perkarangan DUN.
Tambah Ahmad, Musa sepatutnya dijadualkan untuk mengangkat sumpah pada jam 2.30 petang hari ini namun gagal hadir dan surat tunjuk sebab berkaitan ketidakhadiran beliau hari ini akan dihantar melalui emel.
#Ahmad Abdul Rahman #angkat sumpah #Dewan Undangan Negeri Sabah #DUN Sabah #Ketua Menteri #Musa Aman #Timbalan Speaker DUN Sabah