Segerakan PRU15 atau UMNO, BN tewas - Zahid Hamidi
Astro Awani
Ogos 20, 2022 12:47 MYT
Ogos 20, 2022 12:47 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menggesa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dengan segera atau berdepan kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Menurut Presiden UMNO itu, parti berkenaan sudah lama membuat pendirian tersebut dan kini terpulang kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi dan parti UMNO.
Katanya, pembangkang sedang menggunakan pelbagai persepsi untuk menggugat keyakinan akar umbi UMNO dan BN, malah isu yang dikemukakan berbentuk serpihan dan bukan daripada perspektif menyeluruh.
"Dengan kata lain, mereka serang dan putar-belit, kemudian cuba cetuskan imej bahawa merekalah terbaik walaupun Pakatan Harapan (PH) berkuasa 22 bulan membuktikan sebaliknya apabila Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) mereka sendiri meletak jawatan apabila tahu manifesto mereka tak dapat ditunaikan.
"Pimpinan parti dan akar umbi UMNO sangat yakin inilah waktu terbaik untuk menyegerakan PRU dan ia sudah banyak kali dijelaskan justifikasi.
"Yang penting UMNO tidak mahu pembangkang terus menggunakan bulan-bulan terakhir sebelum bubar Parlimen untuk menyerang BN.
"Apabila melengahkan PRU bermakna kita memberikan senjata kepada musuh untuk terus menyerang.
"Sebab itu, tidak ada satu pun pembangkang minta bubar Parlimen walaupun dahulu selalu memperlekeh kerajaan yang ada sekarang bukan mandat rakyat, kerajaan pintu belakang, dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kebimbangan pembangkang dapat dilihat apabila bekas Perdana Menteri PH itu mengakui pendirian UMNO yang mahukan PRU15 diadakan lebih awal kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu.
"Ahli Parlimen Langkawi itu berkata ketika ini pembangkang sudah berpecah-belah, sekali gus memberi ruang kepada UMNO untuk menang besar.
"Beliau terpaksa mengakui bahawa dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia.
"Segerakanlah atau UMNO BN akan tewas PRU. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidaklah berguna," ujarnya.