Segerakan pemilihan Presiden UMNO selepas darurat tamat - Ketua Bahagian Seremban
Astro Awani
April 11, 2021 19:02 MYT
April 11, 2021 19:02 MYT
KUALA LUMPUR : UMNO wajar memilih presiden baharu pada pemilihan yang perlu dibuat segera selepas Proklamasi Darurat yang diisytiharkan sehingga 1 Ogos ini tamat.
Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim berkata, ia sekali gus menyelesaikan isu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikecam secara terbuka akhir-akhir ini oleh sebahagian anggota akar umbi parti itu sendiri.
"Selepas 1 Ogos seharusnya diadakan pemilihan, itu kalau diumum tidak ada penyambungan darurat.
"Saya difahamkan pemilihan cawangan akan mula pada 15 Ogos dan dalam masa dua bulan akan diadakan pemilihan Majlis Tertinggi (MT) termasuk Presiden UMNO.
"Tidak ada halangan atau gangguan untuk diadakan pemilihan, namun mungkin tidak boleh dibuat seawal Jun kerana kekangan darurat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan sama ada pemilihan UMNO akan diadakan seperti dijadualkan atau ditangguhkan akan ditetapkan dalam mesyuarat MT yang akan dilakukan pada Ramadan ini.
.
Menurut Ahmad, pada kebiasaannya penangguhan pemilihan itu dibuat sekiranya pada tahun berkenaan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU).
Dalam pada itu jelas Mustafa, tidak ada sebarang persoalan untuk menangguh pemilihan dan semua pihak perlu akur dengan kehendak majoriti untuk mempercepatkan pemilihan.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ahmad Zahid perlu segera membuat laporan polis berhubung dakwaan isu rakaman audio perbualan antara beliau dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mengelak sebarang spekulasi yang mungkin timbul daripada perkara berkenaan.
Tegasnya, ahli parti di peringkat akar umbi dilihat masih keliru dengan isu berkenaan, yang dilihat boleh memberi imej negatif kepada UMNO.
#Ahmad Maslan
#Zahid Hamidi
#pemilihan
#majlis tertinggi
#mkt
#UMNO
#PKR
#PRU
#SOP
#Ramadan
#pilihan raya umum
#pilihan raya
#pandemik
#COVID-19
#presiden
#Pemilihan UMNO