Segera tangani masalah parti dalam setahun - Prof Ulung

Harits Asyraf Hasnan
September 8, 2015 21:06 MYT
Parti politik di negara ini perlu segera menangani setiap masalah yang dihadapi serta isu berbangkit dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat.
Parti politik di negara ini perlu segera menangani setiap masalah yang dihadapi serta isu berbangkit dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat.
Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, tempoh 12 bulan merupakan satu tempoh yang ideal bagi menyelesaikan segala isu yang timbul.
"Saya rasa sangat berpengaruh apa yang berlaku sekarang dari segi keyakinan dan kepercayaan kepada sesuatu data itu.
"Ini yang jadi isu besar. Saya rasa kalau ini tidak diselasaikan dan tidak diuruskan dalam tempoh setahun yang akan datang, susah juga kepada semua pihak.
"Jadi kedua-dua parti, terpaksa mengatur langkah yang lebih sesuai untuk mengukuhkan kedudukan supaya rakyat lebih percaya kepada kedua-duanya," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Program Pembentangan Data dan Analisis Awal, Kajian Elektoral Malaysia 2015, Projek Khas Nasional (Media, Demokrasi dan Sistem Elektoral), Majlis Profesor Negara (MPN) di sini hari ini.
Menurutnya lagi, defisit kepercayaan terhadap sesebuah parti ketika ini bukan hanya membelenggu Barisan Nasional (BN) atau UMNO, malahan melibatkan parti politik pembangkang yang lain.
Ia, katanya, rakyat akan membincangkan isu yang wujud sekaligus membuat penilaian yang akan disuarakan menerusi pilihan raya.
Pada masa sama, tambahnya lagi, Shamsul berpandangan, isu setempat masih menjadi pengaruh utama pola pengundian disamping isu-isu nasional.
"Kerana rakyat lebih berorientasikan kepada keadaan mereka. Bagaimanapun tinggi harapan kepada negara, sekiranya tidak cukup makan keluarga, tak jadi juga.
"Jadi, pada saya pengundi Malaysia yang berfikiran waras dan boleh membuat keputusan akan melihat isu yang berkait pada diri mereka dan keluarga dulu dan parti manakah, yang mampu membela nasib mereka," katanya.
Justeru, Shamsul yang telah membuat analisis pengundian sejak tahun 1974 menasihati pakar strategi atau individu yang melakukan perancangan untuk sesebuah parti politik mengambil kira isu setempat yang terus menjadi fokus rakyat.
Mengulas kajian yang dijalankan MPN ketika ini berhubung pola pengundian dan sistem pengundian di Malaysia, Shamsul berkata ia tidak memberikan fokus kepada parti yang menjadi pilihan rakyat.
Sebaliknya, menurut beliau, tumpuan akan diberikan kepada isu yang menjadi fokus utama rakyat ketika ini.
"Kita sudah mengutip data untuk pusingan pertama dan kita ada lagi dua pusingan yang perlu dilaksanakan. Yang penting adalah isu dan memahami faktor yang membentuk pemikiran pengundi," katanya.
Antara tajuk kajian adalah literasi politik dalam kalangan pengundi luar bandar di sabah: satu tinjauan awal; transformasi kepimpinan ketua menteri dan reaksi rakyat; isu-isu pengundi Melayu/Melanau Islam dan jangkaan pola pengundian; dan isu-isu pengundian dayak dan jangkaan pola pengundian.
#shamsul amri bahruddin
;