Sediakah parti politik lepas kerusi Menteri, beri laluan pada golongan profesional?
Harits Asyraf Hasnan
Mac 4, 2020 17:18 MYT
Mac 4, 2020 17:18 MYT
Pelantikan golongan profesional dalam memegang sesuatu portfolio Kabinet dilihat amat penting dalam mewujudkan sebuah Jemaah Menteri yang jitu.
Namun, Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof.Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin mempersoalkan sejauh mana kesediaan parti-parti politik melepaskan kerusi Kabinet bagi memberi laluan kepada golongan profesional.
"Ini adalah satu kenyataan yang saya anggap baik kerana kalau ikut cadangan Tun Dr Mahathir iaitu kerajaan perpaduan (unity government) pun begitu juga.
"Padahalnya, kita dulu ada ahli akademik jadi menteri, seperti menteri pelajaran. Jadi ini satu yang diharapkan tapi tidak pernah dilaksanakan. Kerana apa? Kerana tiap-tiap parti mahukan wakilnya jadi menteri. Itu isunya.
"Jadi, setakat mana perdana menteri dapat mengosongkan ruang untuk orang profesional menjadi senator dan kemudian menjadi menteri? Itu isunya. Bukannya tidak boleh. Boleh. Saya rasa telah dilaksanakan. Cuma nak diulang kembali dalam keadaan sekarang susah sikit lah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mencadangkan supaya dilibatkan kalangan profesional untuk membantu Kerajaan dalam usaha meningkatkan tahap ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat.
Ditanya, apakah portfolio yang penting untuk dilibatkan golongan profesional, Shamsul Amri mensasarkan dua kementerian.
"Yang penting sekali (melantik) orang dalam bidang ekonomi dan juga perpaduan. Ini dua perkara yang tidak boleh dipisahkan di Malaysia.
"Ekonomi kita bagus kerana perpaduan kuat, yang menyokong ekonomi. Jadi ini dua bidang yang saya rasa memerlukan profesional," katanya.
Mengulas berkenaan usaha mewujudkan Jemaah Menteri yang mewakili masyarakat majmuk, Shamsul Amri berkata kerajaan baharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan laluan sukar.
"Saya rasa sudah ada MCA. MCA sudah ada, kalau nak diambil pun tak akan sampai lima atau enam orang.
"Jadi pada saya, mereka tidak dapat nak bertindak seperti Pakatan Harapan (PH) kerana PH memang didominasi oleh orang bukan Melayu. Jadi memilih calon itu automatik (mewakili semua)
"Cuma dalam konteks kerajaan sekarang, bilangan bukan Melayu itu sedikit. Itu yang menjadi tanda soal dalam berita-berita yang saya baca hari ini," jelasnya.
Abdul Hadi dalam kenyataannya hari ini menegaskan Pas menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk membentuk Jemaah Menteri dalam masa terdekat ini, tanpa sebarang syarat dan permintaan.
#Abdul Hadi Awang
#ekonomi
#jemaah menteri
#kerajaan
#kesihatan
#lantik profesional
#Mahathir Mohamad
#MCA
#Pakatan Harapan
#PAS
#pembentukan kabinet
#pendidikan
#Perdana Menteri
#perpaduan
#politik
#Shamsul Amri Baharuddin