'Sebanyak 70.01 peratus keluar mengundi PRN Sarawak' - Pengerusi SPR

Wan Syamsul Amly
Mei 7, 2016 00:27 MYT
Peratusan keluar mengundi pada Sabtu dilihat agak perlahan dengan hanya 52 peratus sehingga pukul 4 petang. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Sebanyak 70.01 peratus atau 777,018 pengundi berdaftar membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 kali ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, angka itu termasuk pengundi pos yang melibatkan anggota keselamatan.
Katanya, keputusan akhir memihak kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan 72 kerusi, DAP tujuh kerusi dan PKR mendapat tiga kerusi.
IKUTI LAPOR LANGSUNG #SARAWAK2016 DI SINI
"Parti-parti lain mendapat kosong kerusi, Pas,PAN,STAR,PBDSB dan Bebas semuanya kosong kerusi," katanya semasa sidang media di luar bilik operasi SPR di sini hari ini.
Seramai 1,109,795 pengundi berdaftar pada PRN kali ini.
Peratusan keluar mengundi pada Sabtu dilihat agak perlahan dengan hanya 52 peratus sehingga pukul 4 petang.
Ketika ditanya mengapa ia dilihat agak rendah berbanding sasaran, Mohd Hashim berkata ia disebabkan beberapa faktor peribadi pengundi sendiri.
BN berjaya mengekalkan pemerintahan di Sarawak selepas menang besar pada PRN kali ini.
Ia sekali gus tsunami ke atas pembangkang yang melakukan kejutan dengan memenangi sebahagian besar kerusi bandar pada PRN 2011.
Kemenangan itu adalah mandat dan kepercayaan rakyat kepada Tan Sri Adenan Satem yang mengambil alih jawatan Ketua Menteri daripada Tun Abdul Taib Mahmud dua tahun lalu.
#Adenan Satem #Barisan Nasional #BN #PBB #pilihan raya Sarawak #PRN-11 #sarawak2016 #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya
;