'Sebaik-baik perjanjian politik ialah pembentukan Muafakat Nasional' - Nik Abduh
Astro Awani
November 23, 2021 23:39 MYT
November 23, 2021 23:39 MYT
KUALA LUMPUR: Sebaik-baik perjanjian politik yang termeterai sejak berpuluh tahun adalah pembentukan Muafakat Nasional (MN), kata Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu berkata, perjanjian yang dimeterai di Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) pada September 2019 itu berjaya menyatukan dua kumpulan besar yang telah bertelagah sejak puluhan tahun.
“Ia perjanjian yang diberkati Allah 'dengan serta merta' dengan kurniaan hujanan air mata rakyat di seluruh negara.
“Ia menyatukan dua kumpulan besar umat Islam yang bertelagah sejak puluhan tahun. Ia meruntuh segala marak kemarahan dan dendam, lalu terbina di atasnya rahmat dan kasih sayang sesama umat,” katanya menerusi posting di Facebook pada Selasa.
Katanya, jika Pas boleh bertahan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) selama lebih tujuh tahun, tidak malukah jika pertikaian sesama pemimpin terus dibiarkan sehingga boleh menyebabkan runtuhnya kerjasama tersebut.
“..tidak malukah kita pada Allah, jika tidak mahu malu pada diri sendiri dan pada rakyat, dengan membiarkan api kepanasan terus mara dan marak sesama pemimpin yang pasti boleh menyebabkan MN runtuh dalam tempoh yang singkat?
“Gembirakah kita untuk kembali menukarkan air mata kasih sayang dan kegembiraan kepada kebencian, dendam dan berburuk sangka sesama umat?” soalnya.
BN membentuk kerajaan di Melaka selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN yang ditandingi kali ini dan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) yang mendapat lima kerusi manakala Perikatan Nasional (dua).
Pada PRU Melaka kali ini, Pas buat pertama kalinya bertanding dengan menggunkan logo PN.
#perjanjian politik
#Muafakat Nasional
#nik abduh
#Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
#PAS
#Ahli Parlimen Bachok