Sebagai Perdana Menteri Caretaker, peranan Muhyiddin berbeza, kuasa juga sangat terbatas
Hasimi Muhamad
Ogos 16, 2021 17:42 MYT
Ogos 16, 2021 17:42 MYT
PUTRAJAYA: Sepanjang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Caretaker, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan akan tetap berpegang pada prinsip.
Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau hanya melakukan tugas berdasarkan nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Peguam Negara sahaja.
Menurut Muhyiddin lagi, peranannya ketika ini berbeza dengan jawatan sebelum ini dan mempunyai keterbatasan kuasa.
"Sefaham saya ialah sebagai Perdana Menteri Caretaker, jemaah menteri telah berhenti dan tidak lagi dalam kerajaan, jadi saya seorang sahaja.
"Saya juga telah tanya kepada Peguam Negara mengenai peranan saya. Saya tak fikir saya perlu naik ke pejabat, sebab pejabat saya itu bukan untuk saya (lagi).
"Kalau apa-apa hal tertentu yang memerlukan mungkin sesuatu perkara, tak akan Agong buat sendiri kan? Dalam keadaan tidak ada Perdana Menteri, baginda mungkin memanggil saya (untuk mendapatkan nasihat).
"Tetapi (Perdana Menteri Caretaker) ada keterbatasan kuasa bukan seperti Perdana Menteri sebelum ini," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Perutusan Khas, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau, juga tidak boleh meluluskan peruntukan kewangan yang besar dan membuat keputusan untuk negara.
"Yang pastinya saya tidak boleh tandangan cek RM1 bilion atau buat keputusan-keputusan tertentu walaupun untuk negara.
"Saya tak fikir kuasa kedudukan saya membolehkan saya membuat begitu, saya berpegang kepada prinsip yang saya hanya buat apa yang harus buat, ikut nasihat Peguam Negara dan Yang di-Pertuan Agong," ujarnya.
[LAPOR LANGSUNG]: Agong perkenan peletakan jawatan Muhyiddin, melantik beliau sebagai 'caretaker' PM
[TERKINI] Muhyiddin jalankan tugas 'caretaker' PM - Istana Negara
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan Istana Negara memaklumkan, susulan peletakan jawatan ini, Baginda berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Sementara itu, Muhyiddin dalam Perutusan Khas hari ini mengakui bahawa beliau terpaksa meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat susulan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO.
#Muhyiddin Yassin
#Dewan Rakyat
#Peguam Negara
#Perdana Menteri Caretaker
#Al-Sultan Abdullah
#Perikatan Nasional
#UMNO
#Zahid Hamidi
#Politik Malaysia