Saya urus Kidex bukan macam Khalid Ibrahim - Azmin

Astro Awani
November 11, 2014 12:24 MYT
AZMIN: Saya urus Kidex bukan macam Khalid Ibrahim. - Gambar Fail
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menegaskan beliau menggunakan pendekatan berbeza menguruskan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) berbanding Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Azmin yang ditemui pemberita ketika Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat Anak Syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam berkata, beliau lebih suka mengamalkan pendekatan bertemu dengan pihak berkepentingan.
"Kalau dahulu berbeza, tiada pertemuan dengan penduduk, pihak berkepentingan ketika zaman (Khalid) tetapi saya berbeza, akan bertemu pihak berkepentingan.
"Ini kerana pembinaan lebuh raya ini, rakyat yang terkesan. Ini (merujuk kepada) semua lebuh raya, bukan Kidex semata-mata," kata Azmin ketika memetik laporan Themalaysianinsider.
Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa juga mendakwa, tiada sebarang perbincangan antara Kementerian Kerja Raya dengan pentadbiran Selangor ketika pentadbiran Khalid berhubung pembinaan lebuh raya.
"(Dahulu) tiada perbincangan antara kementerian dengan kerajaan negeri," katanya.
Beliau turut berkata, kuasa pemutus bagi pembinaan lebuh raya juga terletak di bawah kuasa negeri memandangkan pihak konsesi perlu mendapatkan kebenaran pengambilan tanah bagi pembinaan jajaran mana-mana lebuh raya di Selangor.
"Jajaran lebuh raya dan pengambilan tanah adalah di bawah negeri."
Katanya, beliau juga mahukan isu itu segera diselesaikan dan pihaknya akan terus berbincang dengan pihak berkepentingan bagi tujuan itu.
"Kami mahu selesaikan, negeri akan terus berbincang dengan pihak berkepentingna yang terkesan dengan pembinaan lebuh raya itu."
Beliau turut menegaskan, kerajaan negeri Selangor tidak pernah membantah mana-mana pembinaan lebuh raya yang bermanfaat untuk kepentingan rakyat.
"Kita tidak membantah pembinaan mana-mana lebuh raya, bukan bermakna Kidex sahaja, tetapi apa sahaja lebuh raya yang ingin dibina perlu bermanfaat untuk rakyat," katanya.
Sebelum ini Azmin dilaporkan mahu meneruskan perjanjian Kidex walaupun ia menjadi salah satu alasan Menteri Besar Selangor sebelum ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didesak untuk meletakkan jawatan.
Azmin juga dilaporkan akan mengkaji semula dan mendedahkan kepada umum perjanjian Lebuhraya Kidex dan mendapatkan taklimat daripada pihak berkenaan mengenai perjanjian yang dimeterai sebelum mengambil langkah seterusnya.
Abdul Khalid semasa memegang jawatan menteri besar sebelum ini dilaporkan berkeras mahu meneruskan projek Kidex dan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak.
Abdul Khalid juga sebelum ini pernah menerima memorandum bantahan Kidex daripada badan bukan kerajaan (NGO), Say No To Kidex (SNTK).
Sebuah akhbar baru-baru ini turut melaporkan keluhan Pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ampang, Shahrunizad Sahar yang menyifatkan Azmin sepatutnya mempunyai perancangan pembaharuan dalam pentadbiran negeri dan mendakwa menteri besar itu sudah lama mengimpikan jawatan berkenaan.
#ADUN #AMK #antarabangsa #Azmin #bukit #Khalid #kidex #PKNS #Selangor