Saya tunggu masa sesuai sertai Bersatu - Zuraida
Umavathi Ramayah
Julai 14, 2020 14:18 MYT
Julai 14, 2020 14:18 MYT
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengesahkan beliau dan 10 ahli Parlimen yang bertindak keluar PKR sebelum ini masih belum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau memberitahu, mereka menggunakan label Bersatu atas alasan strategik dalam platform di Dewan Rakyat.
"Bagaimanapun secara teknikal kami belum memasuki parti tersebut (Bersatu)," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Selasa.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau masih menunggu Bersatu untuk mengadakan pemilihan parti dan mesyuarat agung tahunan (AGM) memandangkan terdapat beberapa pindaan perlembagaan dalam parti tersebut.
Malah beliau juga menegaskan yang mereka menunggu masa yang sesuai untuk menyerahkan borang keahlian.
Dalam pada itu, ditanya sama ada, mereka yang keluar dari PKR akan menubuhkan parti baharu atau sebaliknya, beliau berkata, perkara tersebut tidak praktikal pada waktu ini ketika berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Zuraida dan Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipecat dari PKR pada 24 Februari lalu.