'Saya tidak kecewa' - Pengundi dakwa ADUN tak nampak batang hidung

Hasimi Muhamad
Februari 17, 2023 14:12 MYT
(Dari kiri) Ahmad Rizal; Zuraidah; Noraini; dan Abdul Aziz ditemui Astro AWANI di Pasar Awam Batang Kali, pada Jumaat - Sumber foto/Astro AWANI
HULU SELANGOR: Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memberi kesedaran kepada pengundi untuk memilih wakil rakyat yang lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.
Beberapa pengundi yang ditemui Astro AWANI mendakwa kesal selepas seorang Ahli DUN yang didakwa gagal menjalankan mandat untuk berkhidmat kepada rakyat.
Malah, segelintir mereka mendakwa individu berkenaan sudah lama tidak turun padang mendekati rakyat sejak pilihan raya lalu.
Menurut peniaga ikan kering, Ahmad Rizal Abu Bakar, 51, dia tidak terkejut dengan keadaan politik sekarang, di mana wakil rakyat boleh ‘meninggalkan’ pengundi begitu sahaja.
“Dengan politik zaman sekarang, saya rasa tak terkejut sebab kebanyakan pemimpin tak ikhlas.
“Mereka berjuang pada mulanya ikhlas, bila dah melibatkan pertukaran politik, masuk parti itu ini, mereka dah tak laksanakan tanggungjawab.
“Saya tak kecewa sebab saya pasti DUN ini memang kosong, orang yang tak boleh buat kerja memang patut tinggalkan (jawatan) buat selama-lamanya. Bukan Speaker (DUN Selangor) yang batalkan, patut dia tahu sendiri tanggungjawab,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Sementara itu, peniaga sayur, Zuraidah Bidin, 56, berharap jika ada pilihan raya akan datang, dia mahukan calon yang berjiwa rakyat.
“Macam kami peniaga sentiasa tolong turun tanya khabar kami, sebab kenaikan barang terlalu mahal.
“Kami sebagai peniaga rasa serba salah dengan harga barang yang mahal ini. Ada barang yang kami tak dapat ambil sebab terlalu mahal dan kita pun kesian dengan pembeli,” katanya.
Ditanya prestasi individu berkenaan, ibu kepada lima cahaya mata itu berkata: “Jarang lah nampak beliau datang ke sini.”
Senada dengan Zuraidah, seorang lagi peniaga, Noraini Ismail, 60, menambah calon yang lebih berwibawa perlu diberi peluang untuk menguruskan DUN Batang Kali.
Sebagai peniaga yang sudah belasan tahun berniaga berkata, isu pendatang asing dalam kalangan peniaga misalnya, sehingga kini belum dapat diselesaikan.
“Kita pun tak tahu dia wujud ke tidak, yang kita tahu tanggungjawab kita mengundi sahaja. Patutnya dia turun padang tanya permasalahan rakyat macam mana.
“Sebenarnya di luar ini orang yang lebih baik nak menggantikan dia adalah ramai.
“Cuma tidak diberikan kesempatan. Kalau ada kesempatan, kita pilih yang betul-betul berwibawa,” jelas Noraini.
Seorang lagi anak jati Batang Kali, Abdul Aziz Mohd Jati, 73, pula berpandangan pemimpin perlu henti bermain politik sehingga mengabaikan rakyat.
“Kita kena isi wakil rakyat yang betul-betul bertanggungjawab, jangan la kata yang sudah lima atau enam bulan tak pergi mesyuarat (sidang DUN). Jadi harapan rakyat tak ada kepada individu itu.
“Seboleh-bolehnya jangan terlampau banyak sangat berpolitik tetapi rakyat terabai,” katanya.
Dalam pada itu, Astro AWANI sedang mendapatkan respon daripada Harumaini.
Pada Khamis, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim mengumumkan satu kerusi bagi kawasan DUN di negeri itu kosong.
Keputusan itu dibuat selepas ADUN berkenaan, didakwa gagal menghadirkan diri dalam persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang notis.
Sementara itu, ADUN itu dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang ekoran tindakan yang dikenakan terhadapnya.
Beliau terkejut dengan pengumuman berkenaan kerana keputusan itu dibuat tanpa dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu dan hanya mengetahui melalui rakan-rakan dan hantaran di media sosial.
Astro AWANI sudah menghubungi ADUN berkenaan itu dan sedang menunggu respon beliau.
#DUN Batang Kali Kosong #PRN Selangor #Pilihanraya Umum ke-14 #Harumaini Omar
;