Calon bebas Bukit Gelugor, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar tidak gentar sekiranya dilucutkan dari menjadi ahli PAS.

Bercakap pada sidang media ketika mengadakan sesi bertemu penduduk di Taman Tun Sardon hari ini, beliau memberitahu jika PAS bertindak sedemikian, tidak mustahil ahlinya akan berpaling tadah dan menyokong parti lain.

“Masa saya jadi ahli biasa mereka memerlukan khidmat saya. Tapi bila saya bertanding, tidak disokong oleh tiga ahli PAS.

“Dua ahli PAS dari Pulau Pinang, dan satu ahli PAS dari Kedah, mereka melenting… mereka menuduh saya bukan ahli PAS,” katanya sambil memaklumkan bahawa beliau telah pun mengemukakan bukti serta sijil yang menunjukkan beliau ahli parti berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang dirinya yang dikatakan lantang mengkritik pucuk pimpinan tinggi parti itu.

Minggu lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali telah tegas mengatakan Mohamed Nabi Bux adalah bukan anggota PAS dan tidak pernah menjadi ahli parti itu.

Katanya beliau bukan anggota PAS sejak dari peringkat awal dan keahliannya tiada dalam rekod.

Mengulas tentang sijil keahlian PAS yang dimiliki Mohamed Nabi Bux serta 58 anggota PAS Gombak yang mempunyai sijil sama, Mustafa berkata: "Itu semua tidak betul".

Isu kesahihan keanggotaan Mohamed Nabi Bux di dalam PAS mula diperkatakan sejak beliau menawarkan diri untuk bertanding pada PRK Parlimen Bukit Gelugor dan berhasrat melaksanakan hukum hudud di Pulau Pinang menjelang 2020.

Mohamed Nabi Bux bagaimanapun tetap bertegas bahawa beliau adalah anggota PAS Gombak yang sah dan sijil keanggotaannya bukan palsu.