'Saya tidak dapat makluman rasmi, hanya tahu menerusi berita' - Mukhriz
Mariah Ahmad
Jun 24, 2016 20:53 MYT
Jun 24, 2016 20:53 MYT
Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak mendapat makluman rasmi daripada UMNO berhubung pemecatannya hari ini.
Beliau berkata, beberapa rakannya sudah menerima surat tunjuk sebab dan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin.
Bagaimanapun, katanya beliau serta Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal yang memegang jawatan tinggi dalam UMNO tidak diberitahu apa-apa mengenai perkara itu.
"Saya memegang jawatan Ketua Bahagian UMNO Jerlun, jadi saya rasa proses ini seperti tidak betul sikit.. Saya hanya tahu menerusi telefon, daripada saluran berita mengenai pemecatan ini.
"Bila tahu perkara ini, ia tidak terlalu mengejutkan. Saya sudah menjangkakan (pemecatan) ini sebab ada mesyuarat Majlis tertinggi," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di kediamannya pada Jumaat.
Turut hadir, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Muhyiddin tidak mahu memberi sebarang kenyataan berhubung pemecatannya.
Sementara itu, apabila ditanya apakah perancangan Mukhriz selepas ini, katanya, beliau akan berbincang bersama rakan lain bagi menentukan langkah seterusnya yang perlu diambil.
Bagaimanapun, tambahnya lagi, perjuangan yang dipelopori UMNO selama ini akan terus dipertahankan dalam apa pentas sekalipun.
Pada 3 Februari lalu, Mukhriz mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta.
Status kedudukan Mukhriz dalam UMNO mula menjadi tanda tanya sejak Mac lalu, berikutan penglibatan mereka dengan 'Deklarasi Rakyat' bersama beberapa pemimpin yang Mac lalu.
Mukhriz merupakan antara 18 individu yang berucap dalam majlis yang dianjurkan oleh kumpulan yang menuntut Najib meletakkan jawatan.