'Saya tidak boleh dibeli, tidak akan dibeli' - Howard Lee

Rahimah Abdullah
Mac 5, 2020 13:05 MYT
LEE: Mengikut nasihat Penasihat Undang-undang Negeri, buat masa ini kita teruskan kerja pejabat dan exco masih berfungsi seperti biasa sebagai kerajaan negeri. - Astro AWANI
Exco Belia, Sukan & Pembangunan Modal Insan Negeri Perak, Howard Lee Chuan How menegaskan beliau tidak akan menerima sebarang pelawaan mana-mana pihak untuk menyertai parti lain membentuk kerajaan negeri baharu.
Jelas, ADUN Pasir Pinji dari DAP itu, beliau akan memastikan dirinya tidak akan dijual beli jika ada tawaran dari pihak tertentu.
“Saya adalah seorang yang berpegang kepada prinsip dan sesuatu yang boleh dibeli oleh tawaran besar atau kecil. Jadi, saya tidak boleh dibeli dan tidak akan dibeli,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media sempena pengumuman rancangan dan program tahunan 2020 bagi Pejabat Pembangunan Belia dan Sukan (PPBS) di Bangunan Perak Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini .
Malah, katanya, beliau tidak akan sekali-kali mengkhianati parti atas dasar prinsip.
“Jadi saya tidak akan sekali dibeli kerana itu adalah pengkhianatan kepada rakyat. Saya tak nak bicara tentang orang politik khianat politik, yang penting jangan kita khianati dan belot kehendak rakyat,” jelas beliau.
Namun setakat ini tiada parti yang cuba menghubunginya dan membuat sebarang tawaran.
“Saya tidak dapat apa-apa (tawaran) pun. Mungkin saya tidak begitu bernilai. Sakit hatilah tiada orang nak tawar,” katanya berseloroh.
Bagaimanapun katanya mengikut perbincangan dalaman dan pendirian dalam parti, DAP dan PH akan kekal sebagai satu blok tidak kira sebagai kerajaan atau pembangkang di negeri Perak.
“Bagi saya jadi pembangkang bukan satu masalah. Bukan tak pernah jadi pembangkang.
"Namun apabila kami diberi amanah untuk menjadi kerajaan dan mentadbir negeri dan menyampaikan hasrat rakyat sebelum PRU, saya rasa amat penting untuk kita kekalkan amanah dan buat kerja,” ujar beliau.
Sementara itu, Lee berkata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu masih gagal dihubungi.
“Jadi, mengikut nasihat oleh Penasihat Undang-undang Negeri, buat masa ini kita teruskan kerja pejabat dan exco masih berfungsi seperti biasa sebagai kerajaan negeri,” tambahnya.
Tambahnya, dari sudut undang-undang, selagi tiada pengumuman Menteri Besar Perak dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah, maka segala perancangan kerajaan negeri berjalan seperti biasa.
“(Kami) tidak mendapat panggilan dari Istana berkenaan status kerajaan negeri “ katanya lagi.

Sehingga ke hari ini, MB Perak, @PejaOfPerak langsung tidak masuk pejabatnya di Bangunan SUK Perak. Malah, kereta rasminya juga sudah lama tidak diparkir di tempat letak kereta khas MB. @501awani #Malaysia2020 pic.twitter.com/0AdMqWEP7A

— Rahimah Abdullah (@rahimah501) March 5, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sehingga kini, Ahmad Faizal masih mengunci mulut mengenai pendiriannya berhubung kemungkinan berlaku perubahan dalam kerajaan negeri Perak.
Malah, berdasarkan tinjauan Astro AWANI, Ahmad Faizal sudah lama tidak memasuki pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan dan kereta rasminya juga tidak kelihatan di tempat letak kereta khas MB.
#Ahmad Faizal Azumu #belot #exco Perak #Howard Lee #Howard Lee Chuan How #kerajaan #kunci mulut #mengkhianati parti #Menteri Besar #pembangkang #politik #rakyat #Sultan Perak #tidak boleh dibeli #undang-undang
;