'Saya tidak bohong tapi tulis berdasarkan fakta dan asas' - Najib

Astro Awani
Julai 17, 2022 18:04 MYT
Najib berkata, beliau akan menulis satu hantaran panjang di media sosial khusus untuk Mohd Rafizi dan ahli PKR yang menyangkalnya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyanggah kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli yang mendakwanya sering berbohong.
Najib sebaliknya mendakwa apa yang beliau tulis di Facebook bukan suatu pembohongan kerana ia berdasarkan fakta dan asas.
Beliau secara sinis berkata, sekiranya menipu di media sosial merupakan satu kesalahan jenayah, Mohd Rafizi sudah lama ditahan.
"Buatlah ramai-ramai polis report. Saya tak pernah takut sebab saya tak tipu macam kamu. (Saya penakut? Yang lari masuk gua selama dua tahun sebelum muncul kembali itu siapa?)
"Hari itu dia yang kata saya tak popular ke mana pun. Hari ini pula, dia arahkan semua ahli PKR untuk sangkal saya dengan alasan ini adalah sangat penting bagi PH.
"Kenapa perlu sangkal pulak jika saya tak popular?," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.
Laporan polis di seluruh negara terhadap Najib pada Selasa - Rafizi
BACA: Najib penakut, sembang kecang sebab orang tak lawan - Rafizi
Najib juga berkata, beliau akan menulis satu hantaran panjang di media sosial khusus untuk Mohd Rafizi dan ahli PKR yang menyangkalnya.
Ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Kongres PKR pada Ahad, Mohd Rafizi mengajak semua ahli parti itu bersama-sama menghentikan apa yang dilabelkan sebagai usaha Najib "meracun" rakyat.
Antara arahan awal Rafizi selaku orang nombor dua parti ialah agar laporan polis besar-besaran di seluruh negara pada Selasa ini dalam isu perkauman.
#Najib Razak #Rafizi Ramli #bohong #laporan polis
;