'Saya tidak akan mengkhianati UMNO' - Muhyiddin Yassin
Astro Awani
Ogos 7, 2015 18:31 MYT
Ogos 7, 2015 18:31 MYT
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak akan mengkhianati parti itu meskipun telah digugurkan daripada barisan Kabinet.
Katanya beliau bersedih apabila dituduh menjadi pengkhianat dalam partinya.
"Ada orang kata saya pengkhianat... yang sedihnya beliau dari Johor juga," kata Muhyiddin dalam satu ucapan perasmian persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh.
Dalam ucapan di hadapan kira-kira 1,000 perwakilan itu, beliau turut menegaskan tidak akan melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Ujarnya, sejak beliau tidak lagi memegang jawatan dalam Kabinet, ramai yang datang menegurnya tentang ucapan yang dibuatnya.
Selain itu katanya, ada pihak yang menyalahkan beliau atas apa yang berlaku serta bimbang sekiranya dijemput merasmikan persidangan.
Muhyiddin menegaskan beliau bukan seorang 'yes man' apabila berdepan dengan hal yang boleh menjejaskan nama baik UMNO dan kerajaan kerana sikap berdiam diri walaupun tahu perkara tersebut salah hanya akan memburukkan keadaan.
"Kalau kawan kita buat sesuatu, kita tegur... ini pandangan saya. Mungkin dia tak setuju, tidak apa, dia bos. Yes boss! You okay boss? Tetapi saya bukan ‘yes man’," katanya lagi.
Tambahnya, beliau akan tetap bercakap benar walaupun pahit serta tidak bimbang sekiranya hal tersebut tidak dapat diterima kerana sebagai pemimpin beliau sudah pun menjalankan amanah dan tanggungjawabnya.
Pada 27 Julai lalu, seorang pembaca melalui emailnya telah melabel bekas timbalan perdana menteri itu sebagai 'pengkhianat Melayu, UMNO, kerajaan dan sahabat'.
Pembaca dalam laman web MyKMU.net itu, menyifatkan Muhyiddin bukan sahaja telah memburukkan Presiden UMNO, malah mempertikaikan cara kabinet menanganinya.
"Tan Sri bukan sahaja memburukkan Presiden parti, mempertikaikan cara kabinet menanganinya, malah mendedahkan perbualan Tan Sri dengan rakan kabinet lain.
"Tan Sri sungguhpun secara berlapik, tapi jelas membawa maksud 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ini satu skandal besar," katanya.
Pembaca itu merujuk kepada kenyataan Muhyiddin yang mengatakan jika pilihan raya umum diadakan 'esok', Barisan Nasional (BN) akan kalah.