Saya tidak akan lompat tinggalkan DAP - Aziz Bari
Abd Razak Mohd Ali
Mac 4, 2020 14:07 MYT
Mac 4, 2020 14:07 MYT
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi dari DAP, Dr Abdul Aziz Bari berkata, beliau tidak akan melompat meninggalkan parti itu.
Naib Pengerusi DAP Perak itu menegaskan, beliau tetap bersama DAP walaupun Timbalan Pengerusi DAP Negeri Melaka yang juga Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee telah menyatakan sokongan kepada gabungan Perikatan Nasional.
Tambahan pula, katanya, beliau bukanlah termasuk dalam kriteria yang mungkin dikehendaki oleh gabungan Perikatan Nasional.
“Saya masih di sini dan saya tidak fikir saya ini laku pun, kerana kalau tengok daripada formasi sebelah sana, bukan orang macam saya yang diperlukan.
“Ada orang kata yang saya hendak melompat, tidak ada saya tidak melompat, saya masih di sini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
Menurut Abdul Aziz, gabungan Pakatan Nasional mungkin memerlukan Adun bukan Melayu bagi memegang portfolio yang sesuai, seperti kebiasaan sebelum ini.
Mengulas kenyataan Norhizam yang menyifatkan dirinya sebagai 'barua' selama 22 bulan, Abdul Aziz berkata, beliau tidak faham mengapa bekas Exco Melaka itu berkata demikian.
“Sebagai seorang ahli politik, itu satu perkara yang saya percaya mengejutkan, menjatuhkan maruah dan juga intergriti dia sendirilah.
“Kalau dia sedar jadi barua, maknanya dia menipu rakyatlah, parti apa pun dia, isunya apakah selama ini dia tidak faham apa yang dia buat, dia tembak babi apa semua itu dan apa maksud barua di situ,” ujarnya.
Abdul Aziz berpendapat, ahli politik seperti Adun Pengkalan Batu tidak mempunyai masa hadapan dalam politik.
#abdul aziz bari
#ADUN
#Adun Pengkalan Bat
#ADUN Tebing Tinggi
#DAP
#Exco
#Malaysia2020
#Melayu
#Perikatan Nasional
#PN
#politik