"Saya tidak akan letak jawatan" - Adly Zahari

Shuhada Abdul Kadir, Fareez Azman
Mac 2, 2020 23:11 MYT
ADLY: Biar kita lawan, kita tahu siapa yang layak. - Facebook Adly Zahari
Politik di negeri Melaka belum reda meskipun Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob menolak cadangan bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri dijalankan.
Krisis politik di negeri itu terus dilihat tegang apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Katil itu mengadakan perhimpunan dihadapan Kompleks Seri Negeri pada malam Isnin.
Adly Zahari ketika memberikan ucapan, antara lain menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan sepertimana dituntut di dalam Perkara (2)(a) Perlembagaan Negeri Melaka yang meminta Ketua Menteri yang tidak mempunyai bilangan besar sokongan Adun untuk meletakkan jawatan.
Malah beliau turut menegaskan agar mandat diberikan kepada rakyat dengan mengadakan Pilihanraya Negeri di negeri itu.
"Kalau ramai bubar Dewan Undangan Negeri, saya tidak akan letak jawatan, biar kita lawan, kita tahu siapa yang layak. Kita lawan Barisan Nasional...
"Rakyat telah jatuhkan kerajaan (yang) salah guna kuasa, puluhan tahun rakyat berjuang mereka habiskan wang, tenaga sebab itu kita minta semua untuk bina muafakat, perompak akan beli jiwa masa akan melekakan kita," katanya dalam ucapan Solidariti Adly Zahari di Perkarangan Kompleks Seri Negeri pada malam Isnin.
Mengulas berkenaan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional dibentuk di negeri itu, Adly turut mempersoal tindakan Norhizam yang mengkhianati Pakatan Harapan dan mandat rakyat.
"Jangan sebut.. rakyat boleh memikir kamu jadi barua atau tidak. Kamu dahulu di bawah, diangkat oleh DAP, diletak satu tempat yang tinggi lebih daripada kawan-kawan yang lain.. Saya beri tempat lebih dari orang yang berjuang lebih lama dari kamu.
"Saya beri jawatan exco, kamu diberikan segala kelebihan lebih dari orang lain. Kenapa kamu khianati mandat rakyat ini.. kalau bukan kami memikirkan tembolok kamu sendiri," katanya.
BACA: "Saya jadi barua selama 22 bulan" - ADUN Pengkalan Batu
Sementara itu, lain pula situasinya di kediaman Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mengadakan Majlis Kesyukuran bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO.
Majlis itu turut dihadiri kepimpinan tertinggi Pas peringkat negeri Melaka.
"Hari ini merupakan sejarah buat seluruh rakyat Melaka, kita berjaya membentuk kerajaan menerusi Muafakat Nasional. Selama setahun lapan bulan, akhirnya kita berjaya menumbangkan Pakatan Harapan di Melaka.
"Kita patut bersyukur dan memastikan negeri Melaka akan dipimpin dibawah Muafakat Nasional," katanya ketika berucap pada malam Isnin.
Bagaimanapun, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka itu menjelaskan calon Ketua Menteri Melaka yang baharu akan ditentukan dalam masa terdekat.
#Adly Zahari #jawatan #Ketua Menteri Melaka #Malaysia2020 #Melaka #MY2020 #Pakatan Harapan #Perikatan Nasional #politik
;