"Saya tidak akan langgar Manifesto PH" - Tun Mahathir

Harits Asyraf Hasnan
Mei 18, 2018 18:38 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tidak akan melanggar Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menetapkan bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang dua portfolio di dalam Kabinet. - REUTERS
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan melanggar Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menetapkan bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang dua portfolio di dalam Kabinet.
"Saya tidak boleh melanggarnya. Memang ada permintaan untuk saya menjadi Menteri Pendidikan.
"Saya tidak boleh serahkannya kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) lantaran beliau telah memegang kementerian lain.
"Tiada halangan (memegang dua portfolio) kepada TPM, hanya kepada Perdana Menteri," katanya dalam video yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
BACA: PM pegang dua jawatan tidak bercanggah manifesto PH - Anwar Ibrahim
Beliau berkata, secara lazimnya, Perdana Menteri atau timbalan akan memegang dua portfolio sama ada Menteri Dalam Negeri atau Pertahanan.
Semalam Dr Mahathir mengumumkan bahawa beliau dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bakal menggalas satu lagi portfolio Kabinet masing-masing sebagai Menteri Pelajaran dan Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.
#Mahathir Mohamad #Manifesto Pakatan Harapan #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #PPBM #Timbalan Perdana Menteri #Wan Azizah Wan Ismail
;