Saya terpaksa dedah sebab Pas tak tepati janji - Tun M
Harits Asyraf Hasnan
Februari 17, 2019 14:20 MYT
Februari 17, 2019 14:20 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui terpaksa mendedahkan pengakuan membabitkan pemimpin Pas selepas parti itu tidak menepati janji mereka.
Tindakan itu dibuat beliau selepas beberapa pemimpin kanan Pas dilihat hadir memberi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada sesi penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih semalam.
Tambah Dr Mahathir, Pas telah menyatakan pendirian untuk tidak menyokong UMNO kerana calon Pakatan Harapan bukan daripada parti DAP.
“Kali ini UMNO bukan berlawan dengan DAP, (sebaliknya) lawan dengan Bersatu, dan mereka nyatakan kepada saya bahawa mereka tidak akan sokong UMNO.
“Namun, mereka tidak mahu isytiharkan (mendedahkan) perkara ini. Tetapi apabila saya mendengar penafian (Pas), maka terpaksalah saya sebut apa yang sebenarnya berlaku.
“Mereka (Pas) tidak sebut sama ada hendak sokong Bersatu atau Pakatan Harapan, tetapi (apa yang jelas) mereka tidak sokong UMNO.
"Pemimpin-pemimpin mereka (Pas) tidak akan hadir, tetapi sepertimana kita tahu dan lihat, pemimpin mereka hadir juga,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Dasar Komuniti Negara, di sini, pada Ahad.
Ditanya berkenaan surat pengakuan Pas yang ditandatangani pada pertemuan di antara beliau dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang Jumaat lalu, Dr Mahathir berkata:
“Mereka cadang untuk membuat surat bertulis yang ditandatangani oleh mereka sebagai pengakuan. Tetapi mereka memberi contoh (surat) yang ditandatangani oleh (Datuk) Takiyuddin sahaja.
“Satu surat ada pada saya, tapi surat Abdul Hadi dan Menteri Besar (Terengganu) tak ada lah. Tapi janjinya mereka akan membuat pengakuan secara tertulis.”
Pada Sabtu, Dr Mahathir berkata pengakuan yang dibuat Pas itu turut dilakukan secara bertulis dan ditandatangani.
#Abdul Hadi Awang
#Barisan Nasional
#DAP
#Mahathir Mohamad
#pengakuan
#PRK Semenyih
#Semenyih
#Takiyuddin Hassan