"Saya terima pemecatan sebagai ahli PAS" - Husam

Astro Awani
Jun 1, 2016 12:40 MYT
Husam dalam suratnya turut mempertikaikan mengapa beliau tidak dipanggil untuk membeli diri. - Gambar fail
Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa hari ini mempertikaikan cara beliau dipecat dari parti itu namun menerima keputusan itu tanpa sebarang bantah.
"Saya terima pemecatan sebagai ahli PAS dan tidak mengemukakan sebarang bantahan," katanya dalam suratnya kepada Presiden Parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ini jelasnya kerana, beliau hanya mengetahui mengenai pemecatannya melalui siaran media sehinggalah pada Selasa, 24 Mei 2016 beliau menerima sepucuk surat dengan maksud berkenaan secara pos tanpa berdaftar di luar rumah arwah ibunya.
BACA: Pemecatan Husam sah, surat sampai atau tidak hanya isu teknikal - Mohd Amar
BACA: Husam hantar surat kepada Presiden Pas mohon batal pemecatannya
VIDEO: Husam Musa mahu bawa penfitnah di mahkamah
"Sungguh pun Jawatankuasa Disiplin mendakwa surat itu telah dihantar kepada saya sebelum ini, saya tidak pernah menerimanya."
Husam mendakwa, telah berlaku kesilapan penghantaran oleh syarikat kurier City Link yang telah dikembalikan beliau kerana pada sampul surat yang dihantar tertera nama YB Dato Haji Hassan Haji Musa.
"Saya menganggap, tidak mungkin surat sepenting pemecatan saya mempunyai nama penerima yang salah.
"Semakan saya dengan City Link mengesahkan surat itu telahpun dipulangkan kembali kepada pengirim tanpa sampulnya dibuka," katanya.
Husam dalam suratnya turut mempertikaikan mengapa beliau tidak dipanggil untuk membeli diri.
"Surat saya bertarikh 3hb April 2016 untuk memohon pengecualian Pengerusi Jawatan Kuasa Disiplin daripada mengadili kes saya dan pelanjutan tempoh untuk saya menjawab surat tunjuk sebab atau juga disebut surat penyiasatan, tidak terjawab sampai akhir.
"Saya tidak tahu, adakah tiada jawapan rasmi adalah dikira jawapan, seperti apa yang dapat difahami dari ulasan SUA (Setiausaha Agung PAS) mengenainya," ujarnya.
Tambahnya lagi, selain menunggu surat rasmi sebagai jawapan kepada permohonannya itu, beliau juga terpaksa melengahkan jawapan balasnya kepada surat tunjuk sebab bertarikh 22 Mac 2016.
Jelasnya, beliau perlu menunggu pandangan undang-undang dari peguam berhubung satu dari pertuduhan ke atas saya, iaitu kesaksian secara disapina dalam kes saman sivil yang masih berjalan.
Katanya, surat jawapan atau pandangan undang-undang dari peguam berkenaan hanya diterimanya melalui e-mel pada 27 April lalu.
"Memandangkan isu kesaksian saya di mahkamah yang diperlukan oleh proses undang-undang adalah besar, saya terpaksa menunggu pandangan dari mereka yang pakar mengenainya sebelum memberikan sebarang jawapan.
"Saya kira, ini adalah kes pertama seseorang yang disapina memberikan keterangan di mahkamah dihukum oleh parti dan dianggap sebagai satu kesalahan.
"Namun begitu, keputusan tanpa memberi peluang saya membela diri dan tanpa pengecualian hakim iaitu Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang prejudis dan berkepentingan bertentangan atau conflict of interest dengan saya, telah pun di ambil," katanya.
Perkara terakhir yang dibangkitkan Husam dalam suratnya berhubung tiga kenyataan yang didakwa diucapkanya ketika berceramah di Kelantan, tahun lalu, iaitu Presiden PAS hendak membawa PAS menyertai UMNO, Presiden PAS mahukan jawatan Menteri dalam kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional dan Presiden PAS mahukan jawatan sebagai Penasihat yang berstatus Menteri.
"Saya tegaskan, semua pertuduhan di atas adalah kesimpulan yang salah atau direka-reka atau tidak memahami apa yang saya tuturkan dalam ceramah saya di Mulong pada 5 November 2015.
"Memandangkan pertuduhan ini adalah hasil kesilapan memahami ucapan saya, saya dengan ini mengambil pendirian untuk tidak memberikan penjelasan lanjut atas tuduhan ini."
Mengakhiri surat tersebut, Husam meminta pihak berkaitan meneliti kembali ucapannya di Mulong tersebut dan menyatakan bahawa niat surat itu adalah bertujuan sebagai rujukan orang ramai agar keadilan dapat ditegakkan.
#Abdul Hadi Awang #Amanah #Husam Musa #PAS #pemecatan
;