Saya tak takut dengan FRU, kezaliman... apatah lagi pimpinan dan perwakilan - Tian Chua
Firdaus Azil
Disember 8, 2019 11:24 MYT
Disember 8, 2019 11:24 MYT
Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua hari ini nyata melawan arus apabila dengan beraninya menegur pimpinan serta perwakilan dan penyokong yang disifat terlalu taksub untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Walaupun menghadapi masalah suara, namun itu sama sekali tidak menghalang ahli veteran PKR itu untuk mengkritik mereka yang menganggap kumpulan tidak sealiran, sebagai ‘pengkhianat’.
“Saya tak pernah takut berhadapan dengan FRU, keganasan, kekejaman polis, apatah lagi kita takut berhadapan dengan rakan-rakan yang yang tidak bersepandangan dengan saya.
“Sebagai reformis, kita tidak pernah takut kepada mereka yang tidak bersetuju, tidak bersepandangan. Sebagai reformis kita juga tidak takut bersepandangan dengan pemimpin.
"Saya tidak pernah lari daripada perjuangan. Ini adalah rostrum, dan saya dipilih (sebagai Naib Presiden) , itu sebab saya kembali untuk menjawab serangan ke atas saya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Kongres Nasional Keadilan 2019, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Walaupun sering dikeji dan dicemuh perwakilan, terutama sekali ketika beliau mengingatkan ahli mengenai pengorbanan orang lama parti termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tian Chua tidak langsung terganggu, dan terus mengingatkan perwakilan, mengenai bahayanya mengamalkab budaya taksub kepada pemimpin.
“Bukan saya tak mahu angkat banner seperti ini (ANWAR PM KE-8), saya tidak perlu angkat banner tunjuk kesetiaan saya, dan saya tak perlu angkat banner untuk tunjukkan sokongan saya.
“Saya anggap tugasan saya paling penting sekarang sebagai pemimpin, saya tidak mahu lihat parti kita turun menjadi parti yang menjadi mob. Masalah kita bukan PM ke-8, PM ke-9, PM ke-10. Jika tidak berhati-hati, kita akan lihat kita punya penyokong jadi makin esktrim,” tegasnya lagi.
Tian Chua berkata, amat berbahaya sekiranya ahli parti terus membentuk mentaliti nafsu, amalkan kesetiaan keterlaluan , atau membentuk ‘personality cult’.
Sekiranya ia tidak dikawal, beliau berkata, akan ada kuasa yang lebih besar mampu menghumban Keadilan kembali ke jalan raya, iaitu kuasa rakyat.
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#Chua Tian Chang
#FRU
#Kongres Nasional Keadilan
#Kongres PKR 2019
#naib presiden pkr
#Perdana Menteri
#reformis
#Tian Chua