'Saya tak tahu surat tular itu' - Ahmad Zahid

Sinar Harian
Mac 7, 2023 23:15 MYT
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pengenalan Calon Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Exco Wanita UMNO dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di Kota Kinabalu semalam. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak tahu mengenai surat yang tular mengenai usul dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan tidak sah.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas hadir pada Majlis Pengenalan Calon Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Exco Wanita UMNO dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di sini.
"Saya tidak mengetahui surat yang tular itu," katanya ringkas pada Selasa.
BACA: Surat tular: 'Saya selamat' - Ahmad Zahid
Bagaimanapun, sebelum itu beliau mengesahkan bahawa Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan telah pun menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Ia memberi keabsahan bahawa Perhimpunan Agung 2022 telah membawa usul jawatan Presiden dan Timbalan tidak ditandingi.
"Ini hanya setelah pengerusi tetap mengikuti semua peraturan yang telah termaktub dalam peraturan mesyuarat termasuk Perhimpunan Agung.
"Begitu juga usaha yang telah dibuat itu, digubal mengikut Perlembagaan parti yang melibatkan Fasal 9.3 dan 9.4 dan ditafsirkan bahawa jawatan-jawatan semua mesti dipertandingkan," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, apabila usul telah dikemukakan di Perhimpunan Agung di mana ia adalah badan tertinggi dalam Perlembagaan UMNO.
"Maka Perhimpunan Agung telah membuat keabsahan sebagaimana yang dilakukan oleh pengerusi tetap dan mengikut peraturan dan Perlembagaan parti.
"Maka surat yang dikemukakan oleh KDN itu adalah surat yang menunjukkan bahawa kuasa untuk menentukan Akta Pertubuhan 1996 Perkara 70 adalah memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri memberikan keabsahan terhadap peraturan dan juga Perlembagaan UMNO itu dipatuhi kerana Akta Pertubuhan 1996 menyebutkan tugas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) adalah untuk menjaga kepentingan ahli-ahli mana-mana badan yang berdaftar dengan RoS dan kepentingan ahli itu mengikut seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan.
"Maka dalam hal ini kuasa menteri adalah kuasa utama untuk menentukan keabsahan Perhimpunan UMNO 2022," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan tular dua surat yang mendakwa keputusan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada penggal pemilihan akan datang adalah tidak sah.
Surat dengan kepala surat (letterhead) RoS itu didakwa diutuskan kepada Ahmad pada 2 Mac lalu. - Sinar Harian
#Zahid Hamidi #Pemilihan UMNO #surat tular PAU 2022 #jawatan Presiden dan Timbalan tidak ditandingi