'Saya tak perlu masuk hospital untuk dapat sokongan rakyat' - Tun M

Hafiz Marzukhi
Mei 1, 2018 23:32 MYT
DR MAHATHIR: Saya kata, saya tidak perlu masuk hospital pun rakyat sudah sokong. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad membidas dakwaan beliau akan dimasukkan ke hospital bagi meraih simpati pengundi.
"Ada orang kata kononnya saya akan masuk hospital untuk bagi orang mengasihani saya.
"Saya kata, saya tidak perlu masuk hospital pun rakyat sudah sokong," katanya ketika sesi ceramah Pakatan Harapan di Desa Pandan malam ini.
Walaupun cuaca hujan, namun ratusan rakyat tempatan hadir bagi mendengar ceramah yang turut dihadiri pemimpin tertinggi pembangkang termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pembangkang didakwa akan 'memasukkan' Dr Mahathir Mohamad ke hospital sebagai langkah terdesak meraih simpati rakyat pada saat akhir menjelang hari mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa BN telah menghidu rancangan itu dari awal dan tidak terkejut jika ia benar-benar berlaku.
#Amanah #Hospital #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #pilihan raya umum #PKR #PRU14 #Tun M
;