Saya tak percaya ada komplot UMNO-Amanah tumbang PAS Kelantan - Azmin
Rahimah Abdullah
Februari 25, 2017 17:12 MYT
Februari 25, 2017 17:12 MYT
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan dakwaan UMNO Kelantan dan Amanah Kelantan berkomplot bagi menumbangkan kerajaan PAS di negeri itu sebagai fitnah menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke -14.
Tegasnya, beliau tidak percaya dengan dakwaan berkenaan yang disifatkan bertujuan memecahbelahkan parti-parti pembangkang.
"Saya tidak percaya sama sekali bahawa ada komplot seumpama itu kerana sama ada PAS atau Amanah, walaupun mereka ada perbezaan pendekatan masing-masing, tetapi matlamat mereka adalah untuk melawan kemungkaran dan kezaliman yang berlaku dalam UMNO dan Barisan Nasional," katanya dalam sidang media selepas melancarkan buku pertamanya bertajuk "Membangun Bangsa" di Pusat Membeli Belah Pavilion di sini hari ini.
Justeru, beliau mengingatkan semua anggota parti pembangkang agar tidak terpedaya dengan cubaan sesetengah pihak untuk menggugat perpaduan ahli parti.
"Saya ingatkan supaya berhati-hati dengan fitnah seperti ini menjelang pilihan raya. Ini hanya untuk memecahkan perpaduan parti-parti pembangkang sama ada dalam Pakatan Rakyat mahupun Pakatan Harapan.
"Kita harus ingat bahawa semua parti pembangkang telah bertekad sedari awal untuk melakukan reformasi secara menyeluruh dan kita menerima agenda reformasi ini sebagai teras perjuangan semua parti politik," tambahnya lagi.
Katanya lagi, PKR sentiasa berbincang dengan Amanah dan PAS berhubung isu-isu yang berbangkit antara parti-parti pembangkang.
"Saya sendiri berbincang dengan Datuk Mustafa Ali pada minggu lalu, kemudian berbincang dengan PAS Selangor, ia positif.
"Semalam, saya juga telah melaporkan perkembangan ini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mesej beliau jelas, bahawa Keadilan mesti menjalin kerjasama dengan PAS untuk menjamin prinsip satu lawan satu itu dipertahankan," ujarnya.
Azmin mengulas mengenai artikel dari sebuah blog yang mendakwa terdapat pakatan sulit di antara Amanah Kelantan dan UMNO Kelantan untuk menumbangkan kerajaan PAS Kelantan pada pilihan raya akan datang.
Artikel yang dikatakan ditulis oleh penganalisis politik Kelantan itu tersebar dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp.
Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob bagaimanapun berkata, parti itu berwaspada dengan dakwaan komplot tersebut kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam politik.